Lori bawa minyak sawit terbakar selepas terbabas masuk laluan bertentangan - Utusan Malaysia

Lori bawa minyak sawit terbakar selepas terbabas masuk laluan bertentangan

ANGGOTA bomba memadamkan kebakaran membabitkan sebuah lori tangki membawa muatan minyak sawit yang terbabas lalu masuk ke laluan bertentangan dalam kejadian di Kilometer 44.6 Lebuhraya Utara Selatan Hubungan Tengah (Elite) arah ke utara dekat Nilai, Seremban tengah hari tadi.-GAMBAR/IHSAN BOMBA.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEREMBAN: Sebuah lori tangki yang membawa muatan minyak sawit terbabas dan masuk ke laluan bertentangan sebelum terbakar dalam nahas yang turut melibatkan tiga buah kereta di Kilometer 44.6 Lebuhraya Utara Selatan Hubungan Tengah (Elite) arah ke utara, kira-kira pukul 12 tengah hari tadi. 

Ketua Polis Daerah Nilai, Superintenden Abdul Malik Hasim berkata, sebelum kemalangan berlaku, lori tangki berkenaan yang dipandu oleh seorang lelaki warga tempatan berusia 53 tahun dalam perjalanan dari Jasin, Melaka ke Klang, Selangor.

“Bagaimanapun, setiba di lokasi kejadian, lori tangki berkenaan gagal dikawal lalu terlanggar sebuah kereta jenis Proton Saga yang sedang dipandu di lorong kanan dan menyebabkan Proton Saga berkenaan berpusing dan melintang di tengah lebuh raya. 

“Selepas itu, lori tangki telah melanggar besi penghadang jalan sebelah kanan sehingga memasuki laluan arah bertentangan sebelum berhenti di lorong kecemasan dalam keadaan terbakar. 

“Akibat daripada kemalangan ini menyebabkan serpihan kenderaan berterabur di atas lebuh raya dan menyebabkan dua lagi kereta iaitu kereta jenis Perodua Bezza dan Mazda CX3 yang dari arah bertentangan terlanggar serpihan tersebut,” katanya kepada pemberita hari ini.

Abdul Malik berkata, pemandu wanita kereta Proton Saga berusia 21 tahun telah mengalami kecederaan ringan dan dibawa ke Hospital Tuanku Ja’afar Seremban (HTJS) bagi mendapatkan rawatan manakala lain-lain mangsa yang terlibat tidak mengalami sebarang kecederaan. 

“Berikutan itu, kes telah diklasifikasikan di bawah Seksyen 43 (1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987 dan siasatan lanjut masih diteruskan,” katanya. –UTUSAN.

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya