BATU PAHAT: Gara-gara brek tidak berfungsi, sebuah lori melanggar enam kenderaan yang berhenti kerana lampu isyarat merah di persimpangan lampu isyarat Sri Medan, dekat sini.
Mujur tiada yang terkorban atau mengalami kecederaan dalam kejadian pada pukul 3.47 petang semalam.
Ketua Polis Daerah Batu Pahat, Asisten Komisioner Shahrulanuar Mushaddat Abdullah Sani berkata, kejadian berlaku apabila sebuah lori yang dipandu lelaki tempatan berusia 46 tahun dalam perjalanan dari Parit Sulong ke Johor Bahru.
“Sampai di lokasi kejadian, lori itu yang mengalami masalah brek telah melanggar empat buah kereta dan dua buah motosikal yang sedang berhenti di persimpangan lampu isyarat. Kesemua mangsa yang terlibat dalam kemalangan tidak mengalami sebarang kecederaan,” katanya dalam satu kenyataan, di sini hari ini.
Rakaman video memaparkan sebuah lori hilang kawalan sebelum melanggar enam kenderaan berdurasi 35 saat tular dalam media sosial sejak semalam.
Shahrulanuar Mushaddat berkata, ujian saringan awal air kencing terhadap pemandu lori mendapati dia bebas daripada pengaruh dadah.
Lori tersebut sudah dibawa ke Pusat Pemeriksaan Kenderaan Berkomputer (Puspakom), di sini bagi pemeriksaan lanjut dan kes disiasat di bawah Seksyen 43(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987. – UTUSAN