Lima PBT Pahang kemuka pencalonan penarafan Bandar Pintar Tahap 1 - Utusan Malaysia

Lima PBT Pahang kemuka pencalonan penarafan Bandar Pintar Tahap 1

MOHAMMAD Fakhruddin Mohd. Ariff (tengah) dalam sidang akhbar selepas merasmikan sambutan Hari Perancangan Bandar Sedunia (HPBS) peringkat Pahang 2024 di Kuantan, Pahang. - FOTO/SHAIKH AHMAD RAZIF
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUANTAN: Keputusan sama ada lima pihak berkuasa tempatan (PBT) negeri ini memperoleh penarafan Bandar Pintar Tahap 1: Smart City Early Adopter akan diketahui pada 28 Oktober ini.

Lima PBT berkenaan ialah Majlis Perbandaran Temerloh, Bentong dan Pekan serta Majlis Daerah Lipis dan Jerantut.

Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan, Alam Sekitar dan Teknologi Hijau negeri, Datuk Mohammad Fakhruddin Mohd. Ariff, kesemua PBT berkenan sudah mengemukakan pencalonan mereka pada Julai lalu.

“Kita menyasarkan tiga PBT memperoleh penarafan Bandar Pintar tahap 1 tahun ini. Pencalonan Majlis Daerah Lipis dan Jerantut adalah inisiatif mereka sendiri.

“Sekiranya kelima-lima PBT ini memperoleh penarafan berkenaan, maka Pahang sudah melebihi daripada sasaran ditetapkan,” katanya dalam sidang akhbar selepas merasmikan sambutan Hari Perancangan Bandar Sedunia (HPBS) peringkat Pahang 2024 di sini hari ini.

Tambah Mohammad Fakhruddin, Majlis Bandaraya Kuantan (MBK) turut menghantar pencalonan bagi penarafan Bandar Pintar Tahap 2: Developing Smart City yang akan dinilai oleh Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT).

Beliau juga memberitahu, bagi menjayakan pembentukan Bandar Pintar, sebanyak tujuh komponen perlu dilaksanakan dalam perancangan pembangunan.

“Tujuh komponen itu ialah kerajaan pintar, ekonomi pintar, kehidupan pintar, persekitaran pintar, orang pintar, mobiliti pintar dan infrastruktur digital pintar.

“Sebagai contoh pelaksanaan kerajaan pintar memberi peluang kepada masyarakat untuk mendapatkan maklumat dan data secara lebih terbuka dan perkongsian data antara negeri. Manakala ekonomi pintar pula membolehkan digitalisasi dalam perniagaan, memberi sokongan kepada industri (tenaga mahir) dan menggalakkan inovasi dalam perniagaan,” ujarnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN