KLANG: Tiga sekeluarga termasuk seorang kanak-kanak berusia lapan tahun berdepan detik cemas apabila kediaman mereka dekat Rumah Pangsa Impian Sentosa, Taman Sentosa, di sini terbakar awal pagi tadi.
Penolong Pengarah Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor, Ahmad Mukhlis Mokhtar berkata, pihaknya menerima panggilan pada pukul 2.58 pagi sebelum menggerakkan pasukan penyelamat dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Andalas dan Klang Selatan.
Menurutnya, kebakaran melibatkan sebuah unit rumah berkeluasan 800 kaki persegi di tingkat dua rumah pangsa berkenaan dengan anggaran kemusnahan kira-kira 20 peratus.
“Terdapat tiga mangsa wanita dan lelaki berusia lingkungan 30-an terperangkap di dalam sebuah bilik, namun berjaya diselamatkan oleh anggota bomba dan kesemua mangsa selamat.
“Bagaimanapun, mangsa mengalami sesak nafas akibat asap tebal dan diberi bantuan awal oleh pasukan EMRS. Kemudian mangsa diserahkan kepada petugas perubatan dari Kementerian Kesihatan yang tiba bersama ambulans,” katanya kepada pemberitaha, hari ini.
Tambahnya, kebakaran itu berjaya dikawal dan dipadam sepenuhnya beberapa minit selepas pasukan penyelamat tiba.
Sementara itu, dalam kejadian berasingan, seorang pemandu Proton Wira iaitu wanita berusia 36 tahun juga berdepan detik cemas apabila tersepit dalam kenderaannya selepas terlibat dalam kemalangan dengan sebuah lori dekat Jalan Pulau Indah.
Ahmad Mukhlis memberitahu, pihaknya menerima panggilan pada pukul 3.21 pagi sebelum menggerakkan sepasukan dari BBP Pelabuhan Klang ke tempat kejadian.
Menurutnya, kedua-dua kenderaan termasuk lori jenis Hohan dipandu lelaki berusia 40-an dikatakan berada dalam arah sama menuju ke Pelabuhan Barat.
“Terdapat dua mangsa, salah seorang tersepit di dalam kereta dan mengalami kecederaan. Kerja-kerja mengeluarkan mangsa dilakukan oleh anggota bomba bertugas.
“Kedua-dua mangsa berjaya dikeluarkan dan diserahkan kepada pihak KKM untuk rawatan selanjutnya,” ujarnya. – UTUSAN