KLUANG: “Letih kerana terpaksa membasuh kotoran lumpur hampir setiap tahun.” Demikian keluh seorang penduduk Kampung Kolam Air di Simpang Renggam, Isa Abu Bakar, 63, yang tinggal di kampung itu sejak 30 tahun lalu.
Menurutnya, setiap kali tiba musim tengkujuh, sekurang-kurangnya 13 keluarga di kampung itu akan dipindahkan kerana kediaman mereka dimasuki air.
Katanya, perkara paling memenatkan adalah untuk mencuci kotoran lumpur selepas air surut dan memerlukan masa beberapa hari.
“Inilah rutin yang terpaksa dihadapi penduduk di sini apabila kejadian banjir tidak berkesudahan sejak sekian lama. Paling menyedihkan apabila ada barang elektrik atau perabot yang tidak sempat diselamatkan serta rosak dan perlu diganti baharu,” katanya ketika ditemui Utusan Malaysia.
Dalam kejadian banjir akibat hujan lebat lebih empat jam semalam, Isa serta isterinya, Faridah Idris, 51, bersama-sama dua anaknya terpaksa dipindahkan ke Dewan Orang Ramai Kampung Kolam Air selepas kediaman mereka dimasuki air kira-kira 0.8 meter.
Faridah pula memberitahu, penduduk di kampung itu akan mengalami banjir sekurang-kurangnya dua kali setahun.
“Berpindah ke pusat pemindahan sementara ini dah macam rutin kami setiap tahun dan ia berlaku sejak saya masih kecil lagi,” katanya. – UTUSAN