KUANTAN: Seorang penganggur yang hilang selepas terjun dari Jeti Batu 3, Sungai Belat di Kampung Kurnia di sini ditemukan lemas kira-kira pukul 2.30 petang hari ini.
Ketua Polis Daerah Kuantan, Asisten Komisioner Wan Mohd. Zahari Wan Busu berkata, mayat mangsa Ahmad Lizan Sidek, 45, dijumpai di pesisiran sungai berhampiran jambatan baru di Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM), Kemunting iaitu kira-kira 3.5 kilometer dari lokasi dilaporkan hilang.
“Berdasarkan siasatan awal, ketika kejadian mangsa terjun ke dalam sungai bersama rakan, namun rakannya itu selamat apabila berjaya berenang dan berpaut pada bot di jeti berkenaan.
“Polis masih melakukan siasatan bagi mengetahui punca sebenar mangsa dan rakannya bertindak terjun ke dalam sungai,” katanya ketika ditemui pemberita di lokasi kejadian di sini hari ini.
Mengulas lanjut, Wan Mohd. Zahari berkata, mayat mangsa dibawa ke Unit Forensik Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA) Kuantan untuk tindakan lanjut dan kes diklasifikasikan dibawah mati mengejut.
Terdahulu, polis menerima laporan berhubung kejadian pada Sabtu lalu dan mengaktifkan operasi mencari dan menyelamat (SAR) pukul 11 pagi semalam.
Operasi melibatkan 25 anggota daripada Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pahang, Angkatan Pertahanan Awam (APM), sukarelawan dan orang awam. – UTUSAN