JELI: Seorang lelaki warganegara Myanmar ditemukan maut dalam keadaan mengerikan selepas putus paha kirinya dipercayai diserang seekor harimau ketika berada di belakang sebuah rumah kongsi di ladang cili di Batu 18, Jalan Raya Timur-Barat (JRTB) Jeli-Gerik, di sini hari ini.
Mangsa yang berusia 34 tahun itu dijumpai di dalam kawasan hutan kira-kira pukul 9.15 pagi selepas rakannya terdengar bunyi harimau mengaum berdekatan ladang berkenaan.
Ketua Polis Daerah Jeli, Superintendan Saari Yaacob berkata, mangsa disedari hilang dari rumah kongsi itu kira-kira pukul 8.30 malam tadi sebelum rakannya membuat laporan di Balai Polis Batu Melintang di sini hari ini.
Menurutnya, semasa mangsa hilang, rakannya yang berada di rumah kongsi itu terdengar bunyi ngauman harimau di kawasan ladang cili itu.
“Anggota polis dengan kerjasama orang awam dan Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) bergegas ke lokasi untuk mencari mangsa.
“Selepas siasatan dijalankan, mayat mangsa dijumpai kira-kira 300 meter dari rumah kongsi yang menjadi tempat tinggal lelaki itu,” katanya ketika ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.
Saari memberitahu, hasil terhadap cebisan anggota badan yang dijumpai mendapati, mangsa cuba melepaskan diri daripada haiwan itu, namun gagal.
Katanya, terdapat kecederaan pada leher, rahang kiri dan kanannya selain kesan cakaran di belakang badan dan dada.
“Selain itu, paha kiri dan tulang mangsa turut putus dibaham harimau itu. Mayat mangsa dibawa ke Unit Forensik Hospital Jeli di sini untuk proses bedah siasat kira-kira pukul 2.30 petang tadi dan kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut,” ujarnya.-UTUSAN