TUMPAT: Batalion 9 Pasukan Gerakan Am (PGA) menggagalkan cubaan seorang lelaki untuk menyeludup lebih 9,000 kilogram (kg) kelapa ke Thailand selepas menahan lori yang dipandunya semasa melalui sekat pintas Pos Nibong di sini semalam.
Lelaki berusia 27 tahun itu ditahan pada pukul 2.15 petang semasa mahu menghantar bahan mentah ke sempadan untuk diseludup ke negara jiran.
Komander Briged Tenggara Datuk Nik Ros Azhan Nik Ab. Halim berkata, sejurus ditahan pemeriksaan yang dilakukan ke atas sebuah lori jenis Hino membawa kepada penemuan lebih 9,000 kg kelapa.
“Semasa ditahan suspek yang bertindak sebagai penghantar gagal mengemukakan dokumen lengkap berkait dengan barangan dibawa.
“Anggaran nilai rampasan keseluruhan berjumlah 45,000,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.
Nik Ros Azhan memberitahu, kes disiasat mengikut Peraturan 4(2)(b) Akta Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) 141 Rancangan Pemasaran Kelapa 1973.
Katanya, suspek dan barang rampasan diserahkan ke kompeni taktikal (Komtak) Pengkalan Kubor untuk tindakan selanjutnya.
Utusan Online semalam melaporkan, Batalion 9 Pasukan Gerakan Am (PGA) Kuala Terengganu merampas sebanyak 41,000 kilogram (kg) kelapa dipercayai cuba diseludup ke negara jiran selepas menahan sebuah treler semasa melalui sekatan jalan raya Neting, Pengkalan Kubor di sini.-UTUSAN