Lelaki ditahan jadi ‘runner’ bawa syabu RM10 juta - Utusan Malaysia

Lelaki ditahan jadi ‘runner’ bawa syabu RM10 juta

KHAW KOK CHIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KAJANG: Cubaan seorang lelaki membawa dadah jenis syabu dianggarkan bernilai RM10 juta terbongkar selepas dia ditahan sepasukan polis dalam serbuan di tempat letak kereta di sebuah restoran makanan segera di Kajang Perdana, di sini, Sabtu lalu.

Hasil penahanan itu, dadah seberat 315 kilogram (kg) ditemukan dalam sebuah kenderaan utiliti sukan (SUV) Honda HRV dipandu lelaki itu.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman, Datuk Seri Khaw Kok Chin berkata, menerusi serbuan pukul 8.38 malam itu, dadah berkenaan ditemukan dalam bungkusan plastik teh herba sebelum diletakkan di dalam guni beras Siam.

Kata beliau, hasil pemeriksaan sebanyak 15 guni beras siam ditemukan yang mengandungi 20 bungkusan plastik teh herba mengandungi dadah di tempat duduk penumpang belakang serta but kenderaan.

“Lelaki tempatan berusia 25 tahun yang juga pemandu kenderaan terbabit telah kita tahan keranan dipercayai berperanan sebagai penghantar dadah atau ‘runner’.

“Hasil soal siasat mendapati suspek mendapat upah sehingga RM10,000 untuk setiap kali penghantaran,” katanya dalam sidang akbar di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kajang di sini hari ini.

Mengulas lanjut, Kok Chin berkata, suspek dipercayai diupah oleh satu sindiket dadah untuk membawa dadah itu yang diedarkan kepada pembeli di sekitar Lembah Klang.

“Kita dapati sindiket ini mulai aktif sejak awal tahun ini dan dipercayai mendapat bekalan dadah dari negara jiran sebelum diseludup melalui Pantai Timur.

“Modus operandi sindiket ini adalah menjadikan kenderaan sebagai tempat penyimpanan dadah sebelum diedarkan kepada pembeli di kawasan Lembah Klang dengan menggunakan kenderaan yang sama,” jelasnya.

Menurut Kok Chin, semakan mendapati suspek yang ditahan itu mempunyai enam rekod jenayah lampau dengan lima daripadanya berkaitan dadah dan satu kes jenayah.

“Manakala ujian saringan air kencing mendapati lelaki itu positif dadah jenis methamphetamine.

“Suspek kini direman enam hari bermula 13 Oktober hingga 18 Oktober ini untuk siasatan yang dijalankan mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952,” katanya.

Tambah beliau, JSJN akan menjalankan siasatan lanjut bagi mengesan rangkaian sindiket yang masih bebas untuk diheret ke muka pengadilan.

Dalam pada itu, Kok Chin berkata dadah yang dirampas itu dianggarkan boleh digunakan oleh seramai 1.58 juta penagih dadah.

Selain itu, beliau menyeru orang ramai untuk menyalurkan sebarang maklumat berkaitan aktiviti pengedaran dadah melalui Hotline JSJN menerusi talian 012-208 7222.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya