SEREMBAN: Seorang pekerja gudang syarikat penghantaran dijatuhi hukuman penjara lima tahun di Mahkamah Sesyen Seremban hari ini, atas dua pertuduhan melakukan amang seksual fizikal terhadap anak tiri perempuannya yang berusia 14 tahun pada September lalu.
Tertuduh, yang berusia 27 tahun mengaku bersalah selepas pertuduhan dibacakan jurubahasa di depan Hakim, Datin Surita Budin.
Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa melakukan perbuatan itu di sebuah rumah di Taman Seremban Jaya, di sini, kira-kira pukul 10 pagi pada 28 September lalu.
Berikutan itu, tertuduh telah melakukan suatu kesalahan yang boleh dituduh dan dihukum di bawah Seksyen 14(a) dan 14(b) Akta Kesalahan Seksual Terhadap Kanak- Kanak (AKSTKK) 2017 yang memperuntukkan hukuman penjara selama tempoh tidak lebih 20 tahun dan boleh dihukum dengan sebatan masing-masing bagi Seksyen 14(a) dan 14(b) AKSTKK,jika sabit kesalahan.
Sementara itu, tertuduh yang tidak diwakili peguam merayu agar hukuman paling minimum dikenakan kepadanya kerana dia hanya berpendapatan RM2,000 sebulan sebagai pekerja gudang dan menanggung seorang anak, isteri, tiga adik serta bapa.
Tertuduh juga memaklumkan sudah berkahwin dengan ibu mangsa sejak tiga tahun lalu.
Bagaimanapun, Timbalan Pendakwa Raya Nurul Balkis Zunaidi memohon mahkamah menjatuhkan hukuman setimpal untuk memberi pengajaran kepada tertuduh.
“Mahkamah perlu mengambil kira kepentingan mangsa yang juga anak tiri berbanding kepentingan tertuduh yang melakukan perbuatan yang sangat serius.
“Tertuduh iaitu bapa tiri kepada mangsa tidak sepatutnya mengambil kesempatan melakukan jenayah seksual, lagi pula mangsa masih bersekolah,” katanya.
Surita kemudiannya menjatuhkan hukuman penjara selama lima tahun dengan satu sebatan bagi setiap pertuduhan yang berjalan serentak bermula dari tarikh tangkapan iaitu pada 30 September lalu.-UTUSAN.