Utusan Malaysia %

Lelaki didakwa pandu lori bawah pengaruh dadah, sebabkan kematian pemandu kereta

JIMHAR Albasar (dua dari kiri) dibawa ke Mahkamah Sesyen Seremban hari ini bagi berdepan pertuduhan memandu lori dengan di bawah pengaruh dadah berbahaya sehingga menyebabkan kematian seorang pemandu kereta dalam kejadian di Nilai, Seremban pada 27 September lalu.-UTUSAN/MOHD. SHAHJEHAN MAAMIN.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEREMBAN: Seorang pemandu lori didakwa di Mahkamah Sesyen Seremban hari ini atas pertuduhan memandu kenderaan itu di bawah pengaruh dadah berbahaya sehingga menyebabkan kematian seorang pemandu kereta dalam kejadian di Nilai di sini pada 27 September lalu.

Tertuduh, Jimhar Albasar, 30, bagaimanapun membuat pengakuan tidak bersalah dan minta dibicarakan selepas pertuduhan dibacakan jurubahasa dihadapan Hakim, Meor Sulaiman Ahmad Tarmizi.

Mengikut pertuduhan, pada 27 September 2024 lalu, lebih kurang pukul 4.15 petang di Jalan Persiaran Negeri di Nilai, di sini, tertuduh sebagai pemandu lori jenis Nissan telah didapati memandu kenderaan tersebut di bawah pengaruh dadah berbahaya jenis Methamphetamine sehingga menyebabkan kematian seorang wanita berusia 31 tahun.

Oleh demikian, tertuduh telah melakukan kesalahan di bawah Seksyen 44(1)(a) Akta Pengangkutan Jalan 1987 (Pindaan 2020) yang boleh dihukum di bawah akta yang sama.

Jika disabitkan kesalahan, tertuduh boleh dihukum penjara selama tempoh tidak kurang daripada 10 tahun dan tidak lebih daripada 15 tahun dan denda tidak kurang RM50,000 dan tidak lebih RM100,000 serta hilang kelayakan memandu selama tempoh tidak kurang daripada 10 tahun dari tarikh sebutan.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Noor Syafina Mohd. Radzuan manakala tertuduh diwakili peguam A. Partheeban.

Noor Syafina kemudian memohon tiada jaminan ditawarkan sehingga menunggu perbicaraan memandangkan kesalahan dilakukan tertuduh adalah serius malah melibatkan enam buah kenderaan secara keseluruhan serta menyebabkan kematian.

Partheeban bagaimanapun memohon budi bicara mahkamah membenarkan jaminan terhadap anak guamnya dengan nilai jaminan yang minimum.

Hakim kemudian membenarkan jaminan terhadap tertuduh berjumlah RM10,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan 25 November ini sebagai tarikh sebutan.

Sementara itu, Jimhar turut berdepan pertuduhan mengikut Seksyen 15 (1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 di Mahkamah Majistret Seremban.

Kesalahan didakwa dilakukannya pada 27 September lalu lebih kurang pukul 11.55 malam di Pejabat Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Nilai iaitu tertuduh disyaki memasukkan dadah berbahaya jenis Methamphetamine ke dalam dirinya.

Sekiranya didapati bersalah, tertuduh boleh dihukum di bawah seksyen dan akta yang sama yang membawa hukuman denda tidak lebih daripada RM5,000 atau penjara tidak lebih daripada dua tahun.

Pendakwaan dikendlikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Norshafatihah Nor Azmi manakala Partheeban sekali lagi mewakili Jimhar.

Tertuduh turut membuat pengakuan tidak bersalah dan Majistret, Nurul Saqinah Rosli kemudian menawarkan jaminan sebanyak RM2,500 dengan seorang penjamin dan menetapkan 25 November depan sebagai tarikh sebutan semula kes dan bagi serahan laporan patologi.-UTUSAN.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN