Lelaki bimbang isteri hilang lebih sebulan

Lelaki bimbang isteri hilang lebih sebulan

NUR Izzati Khairuddin dilaporkan hilang selepas tidak pulang ke rumah di Tambun, Poh sejak lebih sebulan lalu. - UTUSAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

IPOH:  Seorang wanita yang hilang tanpa khabar berita sejak lebih sebulan lalu meresahkan keluarga yang bimbangkan keselamatannya.

Suami mangsa, Muhammad Noor Mohd. Ali Osman, 28, berkata, kehilangan isteri, Nur Izzati Khairuddin, 27, itu disedari selepas wanita itu tidak pulang ke rumah mereka di Persiaran Lembah Perpaduan, Tambun pada 2 September lalu.

Katanya, ketiadaan isteri secara tiba-tiba itu menimbulkan tanda tanya berikutan tiada perselisihan faham berlaku antara mereka mahupun ahli keluarga lain.

“Kali terakhir saya bertemu isteri pada pagi hari kejadian sebelum saya keluar bekerja dan isteri pula pergi menghantar anak-anak ke rumah pengasuh menaiki kereta.

“Beberapa jam kemudian, saya ada lihat isteri lalu di hadapan tempat kerja saya dan dia sempat membunyikan hon. Ketika itu dia menunggang motosikal jenis Honda RS150.

“Ketiadaan isteri disedari selepas saya tergerak hati menghubungi pengasuh sekitar pukul 9 malam sebelum wanita itu memaklumkan isteri masih belum mengambil anak-anak lagi,” katanya di sini hari ini.

Menurut Muhammad Noor yang bekerja sebagai pengawal keselamatan, kerana bimbang dengan keselamatan isterinya, dia segera membuat laporan kehilangan di Balai Polis Tanjung Rambutan.

Katanya, dia cuba mencari wanita itu di merata-rata tempat namun masih gagal menemukan mangsa.

“Bagaimanapun, pada 26 September lalu ketika mencari isteri di sekitar pekan Ipoh, saya menemukan motosikal yang ditunggangnya ketika hari kejadian berhampiran sebuah restoran.

“Berdasarkan rakaman kamera litar tertutup (CCTV) restoran itu, kenderaan tersebut telah berada di sana sejak 10 September namun kelibat isteri tidak kelihatan dalam video berkenaan,” katanya.

Tambahnya, pelbagai usaha dilakukan bagi mengesan ibu kepada tiga anak berusia enam tahun, dua tahun dan bayi 10 bulan itu termasuk memeriksa hotel bajet, namun masih gagal menemukan petunjuk.

Orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai Nur Izzati boleh menghubungi Muhammad Noor di talian 014-3009501 atau balai polis berhampiran.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN