TUMPAT: Hasrat seorang lelaki untuk menikmati upah mengangkut beras seludup tidak kesampaian selepas dicekup anggota Batalion 9 Pasukan Gerakan Am (PGA) di pangkalan haram Kebun, Pengkalan Kubor di semalam.
Lelaki berusia 22 tahun itu ditahan pada pukul 6 petang selepas anggota PGA mengesan sebuah kereta jenis Proton Satria yang berada dalam keadaan mencurigakan semasa melakukan rondaan rutin Op Taring Wawasan Kelantan.
Komander Briged Tenggara Datuk Nik Ros Azhan Nik Ab. Hamid berkata, hasil pemeriksaan telah menjumpai 275 kilogram (kg) beras dipercayai diseludup dari Thailand.
“Suspek dipercayai bertindak sebagai penghantar bagi tujuan menyeludup beras tersebut ke pasaran tempatan.
“Pemeriksaan lanjut mendapati suspek turut gagal menggemukan dokumen sah berkait dengan beras berkenaan,” katanya ketika dihubungi pemberita di sini hari ini.
Nik Ros Azhan memberitahu, suspek dan barang rampasan kemudian dibawa ke kompeni taktikal (Komtak) PGA Pengkalan Kubor untuk tindakan lanjut.
Katanya, anggaran nilai rampasan beras dan kereta dianggarkan berjumlah RM10,100.
“Kes disiasat di bawah Seksyen 20 Akta Kawal Selia Padi dan Beras Negara 1994,” ujarnya.-UTUSAN