Lebih ramai wanita bermula usia 40 tahun hidap kanser payudara - Utusan Malaysia

Lebih ramai wanita bermula usia 40 tahun hidap kanser payudara

AZLIN Hezri (tiga dari kiri) merasmikan Majlis Pelancaran Pink Etiqa yang turut disaksikan Dr. Vignesvari (kiri) serta Siti Nita Zuhra (dua dari kanan) di Bandar Baru Nilai, Nilai, Seremban hari ini.-UTUSAN/NUR SHARIEZA ISMAIL
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEREMBAN: Kanser payudara mencatatkan peratusan tertinggi iaitu 17.6 peratus dihidapi wanita di negara ini berbanding kanser lain.

Ini bermakna kadar kejadian kes (ASR) penyakit kanser payudara di Malaysia adalah 38.9 kes bagi setiap 100,000 populasi wanita. 

Menurut Laporan Registri Kanser Kebangsaan Malaysia 2017-2021, sebanyak 50.5 peratus daripada kes kanser payudara telah dikesan pada tahap tiga dan empat.

Timbalan Pengarah (Perubatan) Persatuan Kanser Kebangsaan Malaysia (NCSM), Dr. S. Vignesvari berkata, justeru keadaan itu semakin membimbangkan berikutan trend penghidap kanser payudara juga sudah berubah.

Menurutnya, ia apabila lebih ramai wanita bermula usia 40 tahun didiagnosis menghidap kanser berbanding pada usia 65 tahun sebelum ini. 

“Namun, kita tidak boleh berputus asa, pengesanan awal melalui mamogram adalah kunci kepada peningkatan kadar kemandirian pesakit kanser payudara,” katanya kepada pemberita pada Majlis Pelancaran Pink Etiqa di Bandar Baru Nilai, Nilai di sini hari ini.

Majlis berkenaan telah dirasmikan oleh isteri kepada Menteri Kesihatan, Datin Seri  Azlin Hezri.

Yang turut hadir, Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif Etiqa International Holdings Sdn. Bhd, Siti Nita Zuhra Mohd Nazri. 

Vignesvari sementara itu berkata, inisiatif Pink Etiqa merupakan program membantu wanita kurang berkemampuan untuk mendapatkan saringan mamogram secara percuma.

“Pink Etiqa akan mengunjungi enam lokasi utama di seluruh negara untuk memastikan wanita dari komuniti kurang berkemampuan dan berpendapatan rendah dapat mengakses saringan mamogram dan mendapat pendedahan maklumat mengenai kanser payudara.

“Jelajah ini akan memberi tumpuan kepada wanita yang berusia 40 tahun ke atas kerana pengesanan awal secara signifikan meningkatkan kadar kelangsungan hidup,” kata beliau.

Katanya lagi, sejak tahun 2017, program mamogram percuma anjuran NCSM dan Etiqa telah berjaya menyediakan saringan kepada 27,500 wanita di seluruh negara.-UTUSAN.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya