Lebih 2,000 anggota PDRM Pahang siap sedia hadapi banjir musim MTL - Utusan Malaysia

Lebih 2,000 anggota PDRM Pahang siap sedia hadapi banjir musim MTL

YAHAYA Othman (empat dari kanan) ketika melanjarkan Projek Wakaf Van Jenazah PDRM Pahang di IPK di Kuantan, Pahang. - UTUSAN/NORHAFIZAN ZULKIFLI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUANTAN: Lebih 2,000 anggota Polis Diraja Malaysia (PDRM) Pahang bersiap sedia bagi menghadapi banjir ketika musim Monsun Timur Laut (MTL) yang diramal berlaku lebih awal iaitu pada minggu keempat bulan ini, berbanding November nanti.

Ketua Polis Pahang, Datuk Yahaya Othman berkata, kesemua anggota yang akan dikhususkan untuk membantu penugasan ketika banjir itu sedang giat mengikuti latihan yang dijalankan.

“Selain itu juga kita juga sudah bersiap sedia memastikan aset-aset polis yang ada untuk membantu mangsa banjir ini dalam keadaan bersiap sedia.

“Polis sebagai pengerusi jawatankuasa pemindahan banjir juga akan berkolaborasi dengan agensi penyelamat lain bagi memastikan usaha menyelamatkan mangsa banjir berjalan dengan baik, teratur dan lancar,” katanya kepada pemberita selepas Majlis Pelancaran Projek Wakaf Van Jenazah PDRM Pahang di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Pahang di sini hari ini.

Kata Yahaya lagi, kesiapsiagaan bagi menghadapi musim banjir itu tidak hanya meliputi daerah atau kawasan yang berhampiran dengan Sungai Pahang sahaja sebagaimana kebiasaannya.

“Pada kali ini selain daripada biasa iaitu hanya meliputi kawasan daerah-daerah yang mempunyai sungai Pahang tapi juga meliputi daerah lain seperti Bentong yang pernah berlaku banjir Telemong dan sebagainya.

“Saya minta seluruh anggota bersiap sedia walaupun bukan sepanjang sungai Pahang juga perlu bersiap sedia,” ujarnya.

Dalam pada itu, PDRM dengan kerjasama Wakaf Pahang menubuhkan tabung sumbangan bagi pembelian van jenazah dengan menyasarkan sumbangan RM150,000 dalam tempoh tiga bulan.

Yahaya berkata, van jenazah terbabit sebagai tambahan kepada kenderaan sedia ada sebelum ini yang akan ditempatkan bagi kegunaan anggota di Pahang Barat.

“Tujuan kita bekerjasama dengan Wakaf Pahang ini bagi memberi peluang kepada warga PDRM Pahang untuk wakafkan sebahagian pendapatan mereka bermula serendah RM5 untuk van jenazah terbabit,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN