PETALING JAYA: Kerajaan disaran melakukan ujian asid deoksiribonukleik (DNA) bagi memastikan terlebih dahulu siapa ibu bapa biologi kanak-kanak diselamatkan yang dikaitkan dengan isu Global Ikhwan Service and Business Holdings (GISBH).
Presiden Badan Peguam Syarie Wilayah-Wilayah Persekutuan, Datuk Zainul Rijal Abu Bakar berkata, sebagaimana yang disiarkan media, terdapat kemungkinan perkahwinan ibu bapa kanak-kanak tersebut tidak didaftarkan atau tidak mengikut undang-undang dan hukum syarak.
Oleh itu, katanya, ia boleh menyebabkan mereka mungkin menjadi anak tidak sah taraf atau anak wat’ie syubhah (anak yang kesahannya diragukan).
Menurutnya, ketiga-tiga anak sah taraf, tidak sah taraf atau wat’ie syubhah menurut hukum syarak mempunyai ramifikasi perundangan yang berbeza
“Dari sudut syariah pertamanya mungkin perlu dipastikan terlebih dahulu siapa ibu bapa biologi kanak-kanak tersebut. Untuk ini mungkin ujian DNA yang ketepatannya mencapai 99.9 peratus dilakukan bagi mempastikan hubungan tersebut.
“Di Malaysia walaupun hak untuk menolak pungutan sampel DNA masih lagi dinikmati oleh individu menurut seksyen 13(7) Akta DNA 2009 pihak otoriti diberi kuasa untuk mengambil sampel dari orang yang disyaki, tahanan dan banduan untuk tujuan siasatan,” katanya dalam kenyataan.
Media sebelum ini melaporkan, polis berjaya menyelamatkan lebih 400 kanak-kanak yang dipercayai dieksploitasi di rumah kebajikan dikaitkan dengan GISBH.
Jelas Zainul Rijal, setelah dipastikan ibu bapa biologi mengikut keputusan DNA tersebut, barulah dilihat kepada upacara perkahwinan ibu bapa tersebut sama ada mengikut undang-undang dan hukum syarak.
“Jika ia tidak mengikut undang-undang, tetapi sah mengikut hukum syarak, suatu perintah dari mahkamah syariah mestilah diperolehi bagi mendaftarkan upacara perkahwinan dan seterusnya kesahtarafan anak.
“Jika perkahwinan tersebut didapati oleh mahkamah syariah tidak mengikut hukum syarak, mahkamah kemudian akan mengisytiharkan anak-anak tersebut sebagai anak tak sah taraf atau wat’ie syubhah,” katanya.
Dalam pada itu, beliau berkata, Majlis Agama Islam Negeri-Negeri mungkin boleh mengumpulkan suatu dana untuk penjagaan kanak-kanak dikaitkan GISBH itu di pusat-pusat tertentu dan bekerjasama dengan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).
Katanya, walau apa pun status anak tersebut, kebajikan anak itu mestilah dipelihara.
“JKM mungkin tidak dapat menampung bilangan kanak-kanak yang terlibat. Oleh itu tempat khusus mungkin perlu diwujudkan untuk mereka.
“Hal ini penting untuk menyahkan indoktrinasi yang selama ini dipegang oleh mereka. JKM hendaklah bekerjasama dengan institusi agama untuk menanggalkan jubah kesesatan mereka ini,” katanya.
Pada masa sama, beliau menambah, Jabatan Imigresen Malaysia (Imigresen) dan kedutaan Malaysia di luar negara boleh berperanan memastikan anak-anak Malaysia di luar negara yang terbabit dengan amalan dan kepercayaan GISBH dibawa balik dan diberi pendidikan yang sempurna sewajarnya.
Katanya, ini kerana terdapat ramai anak-anak Malaysia di luar negara yang didakwa terlibat dengan kesesatan GISBH itu.
“Walaupun berada di luar negara kebajikan dan aqidah mereka perlu dilindungi. Mereka perlu segera dibawa pulang dan diberi bimbingan sewajarnya.
“Kerajaan perlu mengambil tindakan bersepadu bagi menangani isu GISBH ini khususnya yang melibatkan kanak-kanak.
“Kebajikan dan aqidah mereka perlu dijaga. Orang yang bertanggungjawab terhadap kemelut ini perlu dihadapkan ke mahkamah dan dipertanggungjawabkan atas tindakan mereka. Buatlah siasatan dengan adil dan telus serta mengikut undang-undang,” katanya.