Kurangkan retorik, segerakan projek tebatan banjir di Pahang - Sultan Pahang - Utusan Malaysia

Kurangkan retorik, segerakan projek tebatan banjir di Pahang – Sultan Pahang

AL-SULTAN Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah menyantuni dan menyampaikan sumbangan kepada mangsa banjir di Pusat Penempatan Banjir (PPS) Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Seri Semantan, Mentakab di Temerloh, Pahang. - FOTO/SALEHUDIN MAT RASAD
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

TEMERLOH: Kerajaan perlu menyegerakan projek tebatan yang sudah pun dirancang di negeri ini sebagai usaha mengatasi isu banjir yang saban tahun berlaku di Pahang.

Sultan Pahang, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah bertitah, perkara-perkara retorik perlu dikurangkan dan proses pembinaan tebatan banjir perlu dipercepatkan.

“Projek jangka panjang khususnya di Sungai Semantan, Temerloh, Bentong, Lipis dan Kuantan untuk kepentingan rakyat seperti tebatan banjir perlu diutamakan dan disegerakan demi kepentingan rakyat.

“Saya juga berharap pihak berkenaan segera mendalamkan Sungai Semantan yang semakin cetek sebagai langkah menangani banjir di beberapa kampung sekitar seperti Batu Kapor, Sungai Buloh dan Kampung Gajah Mati,” titah baginda ketika ditemui pemberita selepas mencemar duli melawat dan menyampaikan sumbangan kepada 195 ketua isi rumah mangsa banjir di Pusat Penempatan Banjir (PPS) Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Seri Semantan, Mentakab di sini hari ini.

Baginda turut menganugerakan sumbangan kepada mangsa banjir di PPS Sekolah Kebangsaan (SK) Desa Bakti, Mentakab.

Al-Sultan Abdullah bertitah, dalam situasi banjir, semua pihak perlu bersabar dan tahan diuji dengan kesulitan serta cabaran.

“Musim kini tidak menentu, kita harus sentiasa bersedia, mungkin tahun ini banjir agak cepat sikit dari tahun-tahun dahulu, kita harap habis cepat. Mangsa banjir juga perlu dengar nasihat pegawai kerajaan dan jangan ingkar khususnya bila arahan berpindah tengah malam bila air naik dengan cepat.

“Saya juga menasihatkan mangsa banjir di PPS menjaga kebersihan, jangan cepat naik darah dan menyalahkan mana-mana pihak jika berlaku masalah.

“Dalam pada itu saya harap pegawai kerajaan dan mereka yang membantu secara sukarela dapat memberi bantuan sebaik mungkin, jangan pilih kasih dalam soal bantuan,” titah baginda.

Sebelum ini, Menteri Besar, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Rosdy dilaporkan berkata, sebanyak lapan projek tebatan banjir akan dilaksanakan di beberapa lokasi di negeri ini bagi mengatasi masalah banjir.

Inisiatif itu melibatkan peruntukan kerajaan Pusat berjumlah RM212.31 juta bagi rancangan tebatan banjir di Sungai Bentong di Jerantut, Sungai Temai dan Sungai. Ketapang (Pekan) serta Sungai Kenau di Sungai Lembing (Kuantan) yang dijadualkan bermula akhir tahun ini secara reka dan bina.

Lima lagi projek melibatkan peruntukan kerajaan negeri berjumlah RM4.3 juta iaitu rancangan tebatan banjir Sungai Ikan di Cameron Highlands, Sungai Gemeti (Bentong), Sungai Damak (Jerantut), Sungai Telang (Lipis) dan Sungai Chengal (Temerloh). – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN