Kurang penguatkuasaan JAS punca pencemaran Sg. Kim Kim - Bapa Mangsa - Utusan Malaysia

Kurang penguatkuasaan JAS punca pencemaran Sg. Kim Kim – Bapa Mangsa

IDHAM WAZIR A. Wahab (tengah) berbual dengan Kamaruddin Ahmad tentang prosiding kes saman sivil mangsa pencemaran Sungai Kim Kim di Mahkamah Tinggi Sivil Johor Bahru.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JOHOR BAHRU: Bapa kepada seorang mangsa pencemaran sisa toksik Sungai Kim Kim di Pasir Gudang, Idham Wazir A. Wahab, 53,  mendakwa Jabatan Alam Sekitar (JAS) kurang menjalankan pemantauan dan penguatkuasaan di kawasan itu sehingga menyebabkan insiden tersebut berlaku.

Idham Wazir yang mewakili anaknya, Irfan Wafiy, 17, berkata demikian dalam prosiding melibatkan kes saman sivil sebanyak RM30 juta terhadap beberapa defendan berkaitan kejadian pencemaran itu pada Mac 2019 di Mahkamah Tinggi Sivil Johor Bahru, di sini hari ini.

Remaja berkenaan turut mendakwa kilang yang bertanggungjawab melakukan pembuangan bahan buangan terjadual itu hanya mendapat lesen beroperasi pada 2021, iaitu selepas kejadian berkenaan.

Peguam yang mewakili Pengarah Alam Sekitar, Jabatan Alam Sekitar (JAS) dan Kerajaan Malaysia selaku defendan keempat, ketujuh dan kelapan, Nurul Farhana Khalid bagaimanapun menyatakan JAS telah menetapkan prosedur operasi standard (SOP) berkaitan pembuangan sisa toksik.

Namun, katanya, SOP tersebut gagal dipatuhi defendan ke-10, iaitu syarikat yang bertanggungjawab dalam kejadian pencemaran itu,  P Tech Resources Sdn. Bhd.

Ekoran pencemaran itu, Irfan Wafiy dilaporkan menderita sakit ‘Myokymia’ iaitu sejenis penyakit yang menyebabkan beberapa anggota badan, terutama kaki menjadi lemah sehingga memerlukan tongkat untuk bergerak.

Idham Wazir bersama-sama 41 lagi plaintif dalam kes berkenaan diwakili peguam, Datuk Kamaruddin Ahmad, Walter Pereira dan Radiah Karim.

Mereka turut menamakan Kerajaan Johor, Menteri Besar dan Exco Kesihatan dan Alam Sekitar Johor sebagai defenden pertama hingga ketiga.

Jawatankuasa Bertindak Mangsa Gas Toksik Sungai Kim Kim dan Keluarga Mangsa Kes Toksik telah menuntut ganti rugi terhadap 12 defenden membabitkan ganti rugi am dan khas, selain ganti rugi membabitkan tuntutan ke atas Irfan Wafiy, iaitu mangsa paling terjejas.

Perbicaraan sesi ketiga di hadapan Hakim Datuk Seri Shamsulbahri Ibrahim itu akan bersambung esok. 0 UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya