Kumpulan pelajar desak Presiden Bangladesh letak jawatan

Kumpulan pelajar desak Presiden Bangladesh letak jawatan

RATUSAN penunjuk perasaan berhimpun di ibu negara Dhaka semalam, sementara ratusan yang lain cuba menyerbu istana presiden, Bangabhaban.- AGENSI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

DHAKA: Ketegangan politik di Bangladesh meningkat semula selepas kumpulan pelajar mendesak Presiden negara itu, Mohammed Shahabuddin meletakkan jawatan.

Ini berikutan, kenyataannya yang dianggap mempertikaikan peletakan jawatan bekas Perdana Menteri, Sheikh Hasina, pada Ogos lalu.

Kerajaan sementara dijangka mengadakan mesyuarat Kabinet esok untuk membincangkan isu tersebut, lapor The Associated Press.

Kumpulan pelajar itu, dikenali sebagai Gerakan Pelajar Anti-Diskriminasi, memberi tempoh dua hari kepada Mohammed untuk meletakkan jawatan.

Ratusan penunjuk perasaan berhimpun di ibu negara Dhaka semalam, sementara ratusan yang lain cuba menyerbu istana presiden, Bangabhaban.

Polis dan saksi berkata, pegawai keselamatan menggunakan belantan dan bom tangan untuk menyuraikan penunjuk perasaan.

Menurut laporan media, sekurang-kurangnya dua penunjuk perasaan cedera akibat tembakan.

Kemelut politik baharu itu bermula selepas Mohammed memberitahu akhbar berbahasa Bengali awal minggu ini, bahawa beliau tidak pernah melihat surat peletakan jawatan Sheikh Hasina ketika melarikan diri ke India pada Ogos.

Dalam wawancara dengan akhbar Manab Zamin, Mohammed mendakwa dirinya hanya mendengar tentang peletakan jawatan Hasina tetapi tidak pernah melihat surat rasmi.

Kenyataan itu mencetuskan kemarahan kerajaan sementara pimpinan Muhammad Yunus dan aktivis pelajar, sehingga beliau didesak untuk meletakkan jawatan.

Pada 5 Ogos lalu, Mohammed dalam ucapan kepada negara memberitahu Hasina sudah mengemukakan surat peletakan jawatannya kepada Presiden dan mengesahkan menerimanya.

Susulan itu, penasihat undang-undang negara, Asif Nazrul menuduh Mohammed menyebarkan maklumat palsu dan mempersoalkan kredibiliti beliau untuk kekal sebagai ketua negara.

Di bawah Perlembagaan Bangladesh, seorang Perdana Menteri yang dipilih mesti menyerahkan peletakan jawatan secara bertulis kepada Presiden.

Mohammed dilantik sebagai Presiden oleh Parlimen selepas Hasina dipilih sebagai Perdana Menteri untuk penggal keempat berturut-turut dalam pilihan raya pada Januari.

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya