Kumpulan pecah rumah etnik Rohingya didalangi wanita tumpas - Utusan Malaysia

Kumpulan pecah rumah etnik Rohingya didalangi wanita tumpas

M. KUMAR menunjukkan barang kemas yang dirampas daripada kumpulan pecah rumah etnik Rohingya dalam sidang akhbar di IPK Johor, Johor Bahru.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JOHOR BAHRU: Polis negeri ini berjaya menumpaskan kumpulan pecah rumah dianggotai enam etnik Rohingya didalangi seorang wanita berusia 34 tahun.

Ketua Polis Johor, Datuk M. Kumar berkata, kesemua suspek terdiri daripada empat wanita dan dua lelaki berusia antara 15 hingga 34 tahun itu ditahan di Kota Tinggi pada 25 September lalu.

Menurutnya, wanita yang menjadi dalang kumpulan itu mempunyai 54 rekod lampau berkaitan jenayah pecah rumah di beberapa buah negeri sejak 2014.

“Modus operandi digunakan kumpulan ini adalah memecah masuk rumah pada waktu pagi setelah penghuninya keluar bekerja. Mereka menyasarkan barangan yang mudah dijual dalam pasaran gelap seperti barang kemas, jam tangan, beg berjenama serta wang tunai.

“Kesemua suspek dipercayai terlibat dalam 21 kes pecah rumah di Kota Tinggi, Kulai, Pontian, Batu Pahat serta Melaka. Anggaran kerugian kesemua kes itu adalah RM1.25 juta, manakala barangan berharga yang berjaya dirampas semula bernilai RM675,500,” katanya dalam sidang akhbar di Ibu pejabat Polis Kontinjen (IPK) Johor, di sini hari ini.

Kumar berkata, dalang kumpulan itu bersama seorang lagi suspek mempunyai kad Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu bagi Pelarian (UNHCR), manakala empat yang lain tiada dokumen pengenalan diri.

“Dua daripada enam suspek juga telah dituduh di Mahkamah Pontian pada Februari lalu kerana kesalahan pecah rumah dan kes masih dalam perbicaraan. Kesemua suspek yang dipercayai ahli keluarga itu kini ditahan di IPK Melaka bagi membantu siasatan berhubung jenayah pecah rumah di negeri berkenaan sebelum didakwa terhadap 19 pertuduhan di negeri ini,” katanya.

Pihaknya sedang mengesan seorang lagi lelaki etnik Rohingya yang dikenali sebagai Mohammad Shukur Mohamad Salim, 29, bagi membantu siasatan kes tersebut.

Kes itu disiasat di bawah Seksyen 457; Seksyen 411 dan Seksyen 448 Kanun Keseksaan serta Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63.

Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kes itu atau perbuatan jenayah lain boleh menghubungi balai polis berhampiran atau talian 019-2792095 dan 07-2212999. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya