JOHOR BAHRU: Kulai menjadi daerah terbaharu dilanda banjir apabila seramai 70 mangsa daripada 17 keluarga ditempatkan di sebuah pusat penempatan sementara (PPS) yang dibuka, semalam.
Setiausaha Kerajaan Johor, Tan Sri Dr. Azmi Rohani memberitahu, kesemua mangsa dari kawasan Bukit Permai itu kini ditempatkan di PPS Dewan Kampung Murni Jaya.
“Dua daerah yang masih terjejas adalah Kluang dengan seramai 63 mangsa daripada 27 keluarga yang ditempatkan di PPS Sekolah Kebangsaan (SK) Seri Kampung Renggam.
“Daerah Batu Pahat pula menyaksikan seramai 17 mangsa daripada tiga keluarga yang ditempatkan di PPS SK Seri Bunut,” katanya dalam satu kenyataan, di sini hari ini. – UTUSAN