PETALING JAYA: Kementerian Pendidikan Tinggi dan Universiti Teknologi Mara (UiTM) menghulurkan bantuan kepada tiga keluarga pelajar universiti itu yang terkorban dalam nahas kemalangan jalan raya di Dungun, semalam.
Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Dr. Zambry Abdul Kadir memaklumkan, pihaknya melalui Yayasan Perkasa Siswa akan memberi bantuan sewajarnya kepada semua keluarga tiga pelajar UiTM Dungun.
“Semoga segala urusan dipermudahkan,” katanya dalam Facebook hari ini.
Semalam, tiga penuntut lelaki UiTM Kampus Dungun maut manakala seorang lagi cedera parah selepas dua motosikal dinaiki mereka dirempuh sebuah kenderaan utiliti sukan (SUV).
Tiga mangsa yang maut itu ialah Ku Adib Aizad Ku Azmi dan Khairil Anwar Jamaludin masing-masing berusia 20 tahun dan Muhammad Akmal Tukirin, 25.
Kesemua mangsa itu meninggal dunia di tempat kejadian.
Seorang lagi mangsa yang cedera parah ialah Muhammad Ammar Danish Mohd. Ridhuan, 20.
Kemalangan dipercayai berlaku kira-kira pukul 7.20 malam di hadapan kampus berkenaan di Kampung Sura Hujung.
Nahas itu dikatakan berlaku apabila motosikal yang dinaiki mereka secara tiba-tiba dirempuh Honda CRV yang dipandu seorang wanita dari arah belakang.