Kos tinggi: Peniaga sukar teruskan Menu Rahmah

Kos tinggi: Peniaga sukar teruskan Menu Rahmah

Tawaran Menu Rahmah semakin ‘tenggelam’ kerana para peniaga terpaksa bergelut dengan kos operasi tinggi melibatkan bahan mentah yang semakin mahal.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Tawaran Menu Rahmah semakin ‘tenggelam’ kerana peniaga dan penjaja kecil makanan tidak lagi mampu menanggung kos operasi untuk sama-sama membantu kerajaan meringankan beban rakyat.

Presiden Gabungan Persatuan Peniaga dan Penjaja Malaysia, Datuk Seri Rosli Sulaiman berkata, sekiranya penyediaan Menu Rahmah terus dilakukan mereka akan mendatangkan kerugian yang tidak boleh ditanggung.

Kata beliau, pihaknya sudah melakukan perbincangan dengan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) untuk memperkasa Menu Rahmah serta supaya peniaga dan penjaja kecil dapat terus menawarkan program tersebut kepada pelanggan.

Bagaimanapun, katanya, ca­dangan diutarakan kepada Timbalan Menteri KPDN, Fuziah Salleh tidak diberi perhatian sehingga menyebabkan kumpulan peniaga dan penjaja kecewa.

“Kami sudah memberi cadangan kepada Timbalan Menteri sekiranya kerajaan dan KPDN berhasrat ingin mengekalkan Menu Rahmah iaitu perlu memberi subsidi kepada masyarakat peniaga dan penjaja kecil.

“Kami merupakan satu ‘anchor’ (sauh) yang boleh kita mewar-warkan Menu Rahmah masih wujud tetapi dengan syarat KPDN perlu menggunapakai sistem kad yang kami sudah buat untuk beri pada peniaga dan penjaja kecil,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia.

Beliau yang merujuk Kad Prihatin Penjaja dan Peniaga Malaysia itu berkata, kad tersebut sudah mendapat kerjasama beberapa pihak termasuk Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (Kuskop).

“Kita buat ini sebab mahu bantu kerajaan mengekalkan Menu Rahmah tetapi jika terus macam ini saya nampak program tersebut akan tenggelam kerana kita tidak mampu mahu teruskan menu serendah RM5,” katanya.

Terdahulu, kerajaan memperkenalkan Menu Rahmah dengan harga serendah RM5 untuk membantu semua rakyat tanpa mengira kumpulan pendapatan mahupun taraf kehidupan.

Namun, inisiatif diperkenalkan Menteri KPDN, Allahyarham Datuk Seri Salahuddin Ayub sejak awal tahun 2023 lalu dilihat semakin sepi.

Kerajaan pada 29 Mac 2023 memaklumkan bahawa mereka tidak bercadang memberi sebarang insentif atau subsidi kepada mana-mana pengusaha Menu Rahmah.

Sebaliknya, kerajaan akan membantu pengusaha-pengusaha yang terlibat dari segi promosi melalui platform media dan portal Menu Rahmah.

Mengulas lanjut, Rosli berkata, kerajaan tidak seharusnya menyuruh peniaga membuat Menu Rahmah tanpa meraih sebarang keuntungan.

“Antara sebab Menu Rahmah ini gagal adalah kerana masyarakat peniaga kecil ini tidak diberi subsidi, yang ada di KPDN tidak disalurkan kepada kami. ,” jelasnya.

Sementara itu, Presiden Persatuan Pengusaha Restoran Muslim Malaysia (PRESMA), Datuk Jawahar Ali Taib berkata, beliau masih menawarkan Menu Ramah di 20 buah restorannya.

Katanya, sambutan Menu Rahmah daripada pelanggan masih baik terutama ketika waktu hujung bulan.

Dalam pada itu, Fuziah menafikan Menu Rahmah sudah semakin tenggelam tetapi masih mendapat sokongan padu.

Katanya, kerajaan mahu membantu peniaga dengan memberikan insentif supaya menjadi inisiatif menang-menang.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya