KUANTAN: Koperasi Perkhidmatan Pelajaran Nasional Berhad (Kopenas) komited mengembangkan perniagaannya apabila memperoleh pendapatan memberangsangkan lebih RM7 juta melalui aktiviti kredit pada 2023.
Pengerusi Kopenas Berhad, Jumat Mat Lani berkata, pada tahun ini, koperasi berkenaan mengukir satu lagi pencapaian membanggakan apabila berjaya menduduki tempat ke-59 dalam senarai 100 koperasi terbaik negara.
“Di samping itu, di Wilayah Persekutuan, kita berada di tangga ke-22 daripada lebih 1,100 koperasi yang beroperasi di situ.
“Ini adalah satu pengiktirafan terhadap usaha gigih kita semua, lebih-lebih lagi dalam menjana pendapatan yang memberangsangkan sehingga mencecah lebih RM7 juta melalui aktivitik redit pada tahun 2023.
“Pengiktirafan ini adalah hasil daripada pengurusan yang cekap dan komitmen kita untuk terus menambah baik prestasi koperasi. Saya yakin dengan kerjasama dan sokongan berterusan daripada semua, kita mampu melangkah lebih jauh dan mengukuhkan lagi kedudukan kita di persada koperasi negara,” katanya ketika berucap. pada majlis pelancaran 40 tahun Kopenas yang disempurnakan Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Datuk Ewon Benedick di sini hari ini.
Jumat berkata, koperasi itu berharap menjadi antara penerima peruntukan berjumlah RM815 juta diterima Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (Kuskop) dalam Belanjawan 2025.
Jelasnya, peruntukan itu bakal membuka ruang Kopenas memperluaskan lagi perniagaan serta meningkatkan daya saing di peringkat nasional.
“Saya yakin dengan memanfaatkan sepenuhnya peluang ini kita akan terus berkembang dan memberikan sumbangan yang lebih besar kepada anggota dan masyarakat dan sebagai sebuah koperasi berwawasan, Kopenas juga komited untuk mencapai objektif Dasar Koperasi Malaysia 2030 (DaKoM 2030).
“Melalui kerjasama strategik dengan pelbagai pihak kita sedang melaksanakan transformasi yang akan memperkukuhkan kedudukan ekonomi koperasi kita dan seterusnya memberikan impak positif kepada ahli-ahli,” katanya.
Menurut Jumat, sejak penubuhan pada 1984, Kopenas berpegang kepada misi yang jelas dengan memberikan perkhidmatan kredit terbaik kepada anggotanya, khususnya dalam kalangan kakitangan Kementerian Pendidikan Malaysia.
Jelasnya, sepanjang empat dekad berkenaan, Kopenas sudah berkembang pesat daripada segi keahlian dan perkhidmatan sekali gus menjadi salah satu koperasi terbesar di sektor pendidikan. – UTUSAN