Kolej Pengajian Kejuruteraan juara sukan staf UiTM Shah Alam

Kolej Pengajian Kejuruteraan ungguli kejohanan sukan staf UiTM Shah Alam

SASSA UiTM
WARGA UiTM bergambar bersama pada majlis Penutup dan Penyampaian Hadiah SASSA 2024 di UiTM Shah Alam, Selangor.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SHAH ALAM: Kolej Pengajian Kejuruteraan Universiti Teknologi MARA (UiTM) diumum juara keseluruhan Kejohanan Sukan Staf Kampus Shah Alam (SASSA) 2024 yang berakhir semalam.

Pada kejohanan yang diadakan sempena Hari Sukan Negara 2024 bermula 9 Oktober lalu, Kolej Pengajian Kejuruteraan telah mengutip tujuh pingat emas, tiga pingat perak dan lima pingat gangsa.

Tempat kedua pula diduduki Jabatan Canseleri dengan kutipan pingat tiga emas, diikuti Jabatan Hal Ehwal Pelajar (HEP) di tempat ketiga dengan pungutan dua pingat emas, empat perak dan dua gangsa.

Menurut Naib Canselor UiTM, Prof. Datuk Dr.Shahrin bin Sahib @ Sahibuddin, UiTM sentiasa mengutamakan aktiviti-aktiviti kesihatan dan kecergasan dalam usaha universiti tersebut mempromosi gaya hidup sihat dan kesejahteraan staf.

“SASSA 2024 bukan sekadar acara sukan, ia bertujuan untuk memenuhi hasrat dan matlamat UiTM 2025. Kita menjangkakan indeks kegembiraan akan mencapai sehingga sekurang-kurangnya 80 peratus dalam kalangan warga UiTM.

“Justeru, dengan penglibatan staf dalam aktiviti sukan, secara tidak langsung dapat mengurangkan tekanan kerja. Dengan tubuh badan yang sihat, fokus dan keseronokan untuk bekerja pastinya dapat ditingkatkan,”katanya ketika berucap pada Majlis Penutup SASSA 2024 di sini.

Sementara itu Ketua Kontinjen Jabatan Canseleri, Mohd.Yuzi Zali berkata, kejayaan kontinjennya mengutip tiga pingat emas dalam acara ping pong beregu lelaki dan wanita serta petanque beregu lelaki cukup meletakkan kontinjen tersebut di tempat kedua keseluruhan dari 21 pasukan bertanding.

“Ia merupakan suatu kejutan berada di tempat kedua keseluruhan dan ia hasil kesungguhan para atlet yang memberikan komitmen terbaik,”katanya.

Sebanyak 23 pingat emas menjadi rebutan dalam 14 acara sukan bagi kategori lelaki dan wanita dan melibatkan seramai 1,410 atlet dan pegawai dari 21 Jabatan di UiTM Shah Alam. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya