ISKANDAR PUTERI: Klinik Kesihatan (KK) Gelang Patah, di sini yang usang kini tidak mampu lagi menampung keperluan penduduk yang semakin bertambah.
Sambil meluahkan kekecewaannya, Menteri Besar, Datuk Onn Hafiz Ghazi mengakui masih banyak yang perlu dilakukan untuk meningkatkan kualiti perkhidmatan di nege
Menurutnya, infrastruktur sedia ada di klinik kesihatan tersebut tidak dapat menampung keperluan penduduk yang semakin meningkat di kawasan sekitar, apatah lagi Kota Iskandar kini menjadi pusat pentadbiran negeri.
“Saya berasa amat sedih dan kecewa melihat keadaan yang sangat daif di Klinik Kesihatan Gelang Patah.
“Antara isu yang diutarakan termasuk ruang klinik yang sesak dan sempit; fasiliti seperti kerusi, kipas dan pendingin hawa yang telah usang dan rosak; parkir kenderaan terhad dan tidak tersusun selain kekurangan aset seperti mesin ultrasound dan komputer,” katanya selepas melawat klinik tersebut, di sini.
Onn Hafiz memberitahu, purata pengunjung di klinik kesihatan itu lebih 800 orang sehari, manakala infrastruktur sedia ada tidak mampu menampung populasi hampir 100,000 penduduk di kawasan Iskandar Puteri.
“Kerajaan negeri akan membantu sedaya mungkin bagi mengatasi isu tersebut termasuk melihat cadangan pembinaan sebuah klinik kesihatan baharu di kawasan Iskandar Puteri.
“Saya sedar dan insaf masih banyak perlu dilakukan bagi mempertingkatkan kualiti fasiliti kesihatan di negeri Johor.Dengan kerjasama, usaha dan sokongan semua pihak, apa yang direncanakan mampu direalisasikan,” katanya. – UTUSAN