Khuatir Kampung Teluk Rambong dilanda banjir puing

Khuatir Kampung Teluk Rambong dilanda banjir puing

PENDUDUK menggunakan jambatan sementara yang dibuat secara gotong-royong menggunakan kayu bagi menggantikan jambatan besi yang dihanyutkan banjir di Kampung Teluk Rambong, Mukim Siong di Baling.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BALING: Penduduk di Kampung Teluk Rambong, Mukim Siong bimbang tragedi banjir puing seperti menimpa Kampung Iboi boleh menimpa penempatan mereka ekoran hakisan lereng Bukit Lata Putih akibat aktiviti pembalakan beberapa tahun lalu semakin teruk.

Wakil penduduk, Ramli Che Teh, 58, berkata, kejadian banjir puing pernah melanda pada 30 September lalu menyebabkan tiga jambatan, pokok-pokok, batu dan pasir dihanyutkan arus deras sungai berhampiran rumah mereka.

Menurutnya, sebanyak 15 rumah dinaiki air dengan 10 daripadanya terjejas teruk termasuk memusnahkan tandak air selain dia sendiri menanggung kerugian apabila peralatan pertanian serta 10 pokok durian terjejas.

“Kejadian itu dianggap terburuk sejak 60 tahun lalu, sebelum ini ada juga berlaku tapi tidak seteruk ini. Hakisan di lereng bukit sebabkan arus deras membawa batu, pasir, lumpur dan pokok hanyut ke sungai dan merempuh jambatan besi yang dibina 15 tahun lalu.

“Saya difahamkan ketika aktiviti pembalakan dahulu, ia dilakukan secara `cuci mangkuk’ iaitu semua pokok balak termasuk yang kecil-kecil ditebang menyebabkan Bukit Lata Putih menjadi botak,” katanya ketika ditemui semalam.

Menurutnya, penduduk amat bimbang kerana setiap kali hujan lebat menyebabkan hakisan menjadi lebih teruk di puncak bukit sekali gus berisiko menyebabkan banjir puing bertambah buruk.

Tambah Ramli, penduduk serta sukarelawan bergotong-royong membina jambatan sementara menggunakan kayu bagi membolehkan mereka menghantar anak ke sekolah dan melakukan aktiviti harian.

Rozita Awang, 47, berkata, dua anaknya berusia 15 dan 19 tahun terpaksa menyeberangi arus sungai deras selepas jambatan berhampiran rumah mereka musnah akibat banjir puing tersebut.

“Kalau air sungai cetek, anak-anak boleh ke sekolah, namun jika airnya dalam dan deras mereka tidak ke sekolah,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya