Kewangan Islam, takaful fasa seterusnya pembangunan pensijilan halal

Kewangan Islam, takaful fasa seterusnya pembangunan pensijilan halal

DR. Zulkifli Hasan (berdiri, tengah) menyaksikan lafaz zakat perniagaan oleh Ketua Pegawai Eksekutif Etiqa Family Takaful Berhad, Zafri Ab. Halim (duduk, kanan) selepas merasmikan Seminar Sinergi Halal dan Zakat di Seremban hari ini.-UTUSAN/NAZARUDIN SHAHARI.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEREMBAN: Sistem kewangan Islam dan perlindungan takaful perlu dilihat sebagai lapisan seterusnya dalam pembangunan pensijilan halal di negara ini.

Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Dr. Zulkifli Hasan berkata, kedua-dua instrumen itu adalah fasa kedua yang dilaksanakan selepas kejayaan sistem perniagaan berstatus halal dan toyyiban.

Katanya, ia penting kerana instrumen berkenaan akan melengkapkan keseluruhan ekosistem halal yang hendak dibangunkan di negara ini.

“Tahap kesedaran dan kefahaman terhadap ekosistem halal ini perlu dipertingkatkan supaya kita dapat pencapaian lebih baik.

“Kerajaan akan meneruskan aktiviti promosi dalam kalangan para usahawan supaya menjadikan sistem kewangan dan perlindungan Islam sebagai sebahagian daripada status halal perniagaan mereka,” katanya kepada para pemberita selepas merasmikan Seminar Sinergi Halal dan Zakat di sini hari ini.

Yang turut hadir, Setiausaha Majlis Agama Islam Negeri Sembilan (MAINS), Zainal Said dan Pengarah Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sembilan, Mohd. Asri Abdullah.

Seramai 600 usahawan dari negeri ini menyertai seminar anjuran MAINS.

Sempena seminar itu, Zulkifli turut menyaksikan penyampaian zakat perniagaan oleh Etiqa Family Takaful Berhad, Bank Simpanan Nasional dan Bank Pembangunan Malaysia Berhad.

Zulkifli menarik perhatian, penyertaan oleh dua buah bank dan sebuah syarikat perlindungan takaful dalam seminar hari ini adalah sebahagian usaha kerajaan mendedahkan para usahawan menjadikan kedua-dua instrumen dalam sistem pensijilan halal.

“Seperti yang kita tahu sistem pensijilan halal kita mendapat pengiktirafan dan perhatian masyarakat antarabangsa kerana potensi besar dalam industri halal dunia.

“Sudah pasti jika kita melengkap ekosistem halal ini kepada lapisan seterusnya, ia akan menjadikan pensijilan halal Malaysia sebagai yang terbaik,” ujarnya.-UTUSAN.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN