Kes keganasan rumah tangga meningkat - Noraini - Utusan Malaysia

Kes keganasan rumah tangga meningkat – Noraini

NORAINI Ahmad merasmikan Konvensyen Pemerkasaan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Peringkat Negeri Johor 2024 di Kompleks Sukan EduCity, Iskandar Puteri.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ISKANDAR PUTERI: Isu keganasan rumah tangga menunjukkan peningkatan dengan 577 kes direkodkan sepanjang tahun lalu, bertambah sebanyak 155 kes atau 27 peratus berbanding 422 kes pada 2022.

Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM), Datuk Seri Dr. Noraini Ahmad mengakui  kementerian akan terus memerangi isu tersebut yang menjadi antara cabaran keluarga ketika ini dan masalah yang serius.

“Namun begitu, angka itu kembali menurun kepada 442 kes yang direkodkan sejak awal tahun sehingga Ogos lalu. Isu kekerasan dalam rumah tangga masih menjadi masalah serius.

“Walaupun kerajaan telah menguatkuasakan Akta Keganasan Rumah Tangga 1994, namun ramai mangsa khususnya wanita dan kanak-kanak menghadapi kesulitan untuk mendapatkan perlindungan dan sokongan,” katanya merasmikan Konvensyen Pemerkasaan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Peringkat Negeri Johor (Komentar 2024) di Kompleks Sukan Educity, di sini hari ini yang turut dihadiri Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat negeri, Khairin-Nisa Ismail.

Noraini berkata, beberapa isu-lain yang harus juga diberi perhatian seperti pengabaian anak, kesihatan mental serta isu berkaitan perkahwinan dan perceraian.

Katanya, keretakan rumah tangga secara tidak langsung boleh merapuhkan peranan dan fungsi institusi kekeluargaan di negara ini.

Justeru, masyarakat memainkan peranan sangat penting terutamanya dalam memberikan bantuan secara langsung untuk menangani isu-isu dalam komuniti seperti penderaan atau jenayah melibatkan keganasan keluarga.

“Bagi negeri Johor, sebanyak 21,074 kes yang merangkumi kategori kanak-kanak, dewasa, orang kurang upaya (OKU) dan warga emas telah diberi intervensi krisis, sesi kaunseling individu, pasangan, keluarga dan kelompok kepada komuniti,” katanya sambil menegaskan penglibatan lebih ramai ahli komuniti bersama-sama pihak kerajaan seperti menyertai Skuad Waja di bawah Jabatan Pembangunan Wanita boleh membantu lebih ramai rakyat menempuhi masalah mereka.

Kementerian itu juga amat komited terhadap agenda pemerkasaan wanita di negara ini yang melibatkan pelbagai inisiatif dan program untuk meningkatkan kedudukan golongan itu dalam masyarakat. 

“Antara inisiatif yang diambil ialah memberi pendidikan dan latihan, peluang pekerjaan, kesihatan dan kesejahteraan yang berkualiti.

“Selain kesihatan reproduktif dan mental, memperkuatkan undang-undang dan mekanisme perlindungan bagi wanita daripada keganasan dan penderaan terus dilaksanakan,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya