Kerajaan Pahang terkilan tiada R&R di LTU walaupun terdapat dalam skop projek - Utusan Malaysia

Kerajaan Pahang terkilan tiada R&R di LTU walaupun terdapat dalam skop projek

KERAJAAN Pahang berharap pembinaan hentian rehat dan rawat (R&R) dapat diteruskan di Lebuhraya Lingkaran Tengah Utama (LTU) demi keselesaan pengguna.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUANTAN: Kerajaan Pahang terkilan apabila hentian rehat dan rawat (R&R) yang merupakan komponen penting dalam pembinaan Lebuhraya Lingkaran Tengah Utama (LTU) di negeri ini tidak dilaksanakan walaupun terdapat dalam skop projek.

Menteri Besar, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail berkata, apa dilaksanakan di LTU hanya penyediaan platform dan infra sahaja.

“Kerajaan negeri sebelum ini sudah membuat permohonan agar kemudahan tersebut dibina bagi memberikan keselesaan dan keselamatan kepada pengguna dalam mendapatkan kemudahan rehat sepanjang pemanduan di lebuhraya berkenaan.

“Meskipun kos pembinaan R&R mencecah dua kali ganda daripada anggaran kos asal, kerajaan negeri berharap pihak Kementerian Kerja Raya dan Kementerian Ekonomi memberikan pertimbangan sewajarnya untuk meneruskan pembinaan infrastruktur ini,” katanya di sini hari ini.

Wan Rosdy berkata, kerajaan negeri merakamkan penghargaan dan terima kasih kepada kerajaan Persekutuan atas pembinaan LTU sepanjang 299.4 kilometer yang melibatkan enam pakej pembinaan dengan kos keseluruhan RM7.7 bilion.

Menurutnya, pembinaan laluan baharu yang dijangka siap menjelang akhir tahun 2026 ini, memberi banyak manfaat kepada rakyat khususnya pengguna jalan raya yang melalui Pahang Barat iaitu Bentong, Raub dan Lipis menuju ke Kelantan.

“Selain itu kerajaan negeri turut memberi penekanan terhadap pentingnya pakej enam iaitu laluan Persimpangan Lebuhraya Pantai Timur (LPT)-Pelangai dapat diluluskan bagi melengkapkan jaringan LTU.

“Sehingga kini empat laluan di sepanjang LTU sudah pun dibuka iaitu laluan Bentong Bypass, laluan Kampung Orang Asli Sungai Chandan-Kampung Asap, laluan Raub Bypass dan laluan Mentara-Kampung Seberang Jelai dengan kemajuan projek keseluruhan 66.01 peratus setakat ini.

“Semoga projek pembinaan LTU dapat disiapkan mengikut jadual dan saya sekali lagi berharap pembinaan R&R dapat diteruskan demi keselesaan pengguna,” ujarnya.

Sebelum ini, kerajaan negeri ada mencadangkan pembinaan R&R dibina di laluan antara Bentong dan Raub serta di Kechau Tui, Merapoh, Lipis.

Pembinaan kemudahan itu dijangka akan membantu mengatasi isu sampah di jalan berkenaan terutama ketika musim perayaan dan cuti persekolahan. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN