Kerajaan Pahang peruntuk RM9.28 juta kepada institusi agama Islam seluruh negeri - Utusan Malaysia

Kerajaan Pahang peruntuk RM9.28 juta kepada institusi agama Islam seluruh negeri

WAN ROSDY Wan Ismail (tengah) menyampaikan sumbangan Bantuan Prihatin Pahang (BBP) 2024 kepada surau yang mendapat kebenaran solat Jumaat di negeri Pahang di Kuantan, Pahang. - UTUSAN/DIANA SURYA ABD WAHAB
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUANTAN: Sebanyak RM9.28 juta peruntukan disediakan kerajaan Pahang bagi membantu masjid, surau kebenaran Jumaat, maahad tahfiz dan golongan mualaf di seluruh negeri ini melalui skim Bantuan Prihatin Pahang (BPP) 2024.

Menteri Besar, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail berkata, sumbangan ini bukti dan komitmen kerajaan Pahang dalam memastikan kesejahteraan dan pembinaan masyarakat Islam.

“Kerajaan negeri berhasrat menambah lagi peruntukan bantuan kepada institusi agama jika hasil kutipan kerajaan negeri terus meningkat.

“Alhamdulillah, hari ini kita dapat sampaikan  kepada semua penerima dan ini adalah seperti mana yang saya nyatakan bahawa kalau kita ada lebihan daripada hasil kerajaan negeri kita tidak teragak-agak menyalurkan kepada yang layak,” katanya ketika ditemui pemberita selepas menyampaikan BPP 2024 di sini hari ini.

Sebanyak 700 buah masjid dan surau yang mendapat kebenaran Jumaat masing-masing menerima RM10,000.

Dalam pada itu, 20 buah pusat tahfiz menerima sumbangan RM2,000 manakala 8,899 pelajar tahfiz diberikan bantuan RM100 setiap seorang.

Tidak ketinggalan golongan mualaf di negeri ini menerima bantuan RM200 seorang.

Mengulas lanjut, Wan Rosdy berkata, melalui insentif yang diberikan tersebut, penerima diharap terus bersemangat menyebarkan ajaran Islam di negeri ini. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN