PETALING JAYA: Jabatan Penjara Malaysia mengesahkan kematian seorang banduan di selepas menjalani hukuman sebatan di Penjara Pokok Sena, Kedah pada Isnin lalu disebabkan jangkitan kuman dalam darah.
Jabatan Penjara dalam satu kenyataan berkata, banduan berkenaan mengadu tidak sihat pada 4 Oktober lalu iaitu sembilan hari setelah hukuman sebat dijalankan pada 25 September 2024.
Kata kenyataan itu, susulan aduan sakit oleh banduan, pihak penjara terus melakukan pemeriksaan lanjut terhadapnya melalui rawatan rapi oleh Pegawai Perubatan.
“Banduan telah dibawa Hospital Sultanah Bahiyah pada 7 Oktober lalu untuk rawatan lanjut namun banduan tersebut telah disahkan meninggal dunia.
“Jabatan ini menegaskan bahawa hukuman yang dilaksanakan pada 25 September lalu adalah mengikuti Prosedur Operasi Standard (SOP),” kata kenyataan itu.
Tambah kenyataan itu lagi, banduan berkenaan juga telah disahkan sihat dan cergas selepas pemeriksaan ketat oleh Pegawai Perubatan Penjara.
Ujar kenyataan itu, selepas menjalani hukuman, banduan tersebut juga telah dirawat dengan rapi termasuk rawatan luka (dressing) setiap hari dan dipantau kesihatan dari semasa ke semasa oleh Pegawai Perubatan Penjara.
“Jabatan Penjara juga telah memulakan siasatan dalaman bagi menyemak semula pelaksanaan hukuman adalah mengikuti SOP yang telah ditetapkan.
“Sehingga kini tiada pelanggaran SOP dikenal pasti dan siasatan lanjut masih dijalankan.
“Sekiranya didapati terdapat unsur kecuaian atau kelemahan prosedur semasa melaksanakan tugas, Jabatan Penjara tidak akan berkompromi dan tindakan tegas terhadap pihak yang bertanggungjawab,” jelas kenyataan itu.
Sehubungan dengan itu, orang awam diingatkan agar tidak menyebar luas berita yang tidak sahih berkaitan kejadian kes tersebut.
Terdahulu, Suhakam mengesahkan menerima laporan berhubung kematian seorang banduan, yang didakwa berlaku selepas menjalani hukuman sebatan.
Lapor sebuah portal, banduan berkenaan dikenakan penjara selama 33 berserta 12 sebatan selepas pemansuhan hukuman mati mandatori di Malaysia dan hukumannya disemak semula pada 10 September lalu.
Laporan itu mendakwa banduan berkenaan mula mengalami pendarahan teruk seminggu selepas hukuman sebatan itu sehingga mencemaskan keluarganya kerana dia mempunyai penyakit darah tinggi.
Isteri banduan berkenaan juga mendakwa telah meminta untuk melawatnya pada 6 Oktober lalu tetapi ditolak.