Kemasukan kenderaan Singapura kembali normal susulan tiada saman serta-merta dikenakan - Utusan Malaysia

Kemasukan kenderaan Singapura kembali normal susulan tiada saman serta-merta dikenakan

JUMLAH kenderaan Singapura kembali meningkat apabila tiada tindakan saman serta-merta dikenakan walaupun sistem VEP bermula 1 Oktober lalu.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JOHOR BAHRU: Jumlah kenderaan pendaftaran Singapura yang memasuki negara ini melalui Tambak Johor dan Lebuhraya Laluan Kedua Malaysia-Singapura (Linkedua) kembali normal susulan penguatkuasaan Permit Masuk Kenderaan (VEP) dilakukan secara berfasa bermula 1 Oktober lalu.

Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook berkata, dua hari pertama pelaksanaan VEP itu menyaksikan penurunan jumlah kenderaan dari republik itu memasuki negara ini.

Namun, katanya, setelah mereka diberikan jaminan bahawa tindakan saman masih belum dilaksanakan, keadaan hampir kembali normal pada hari ketiga dan seterusnya.

“Laporan harian yang diperoleh mendapati jumlah kenderaan Singapura yang masuk ke negara ini melalui laluan darat di Tambak Johor dan LinKedua kembali normal sebaik jaminan diberikan tiada tindakan saman dikenakan setakat ini.

“Tindakan penguatkuasaan akan dilakukan secara berfasa dengan notis peringatan dikeluarkan kepada pemilik dan pemandu kenderaan yang belum mendaftar. Kita berikan mereka masa lagi untuk  memohon sebelum tindakan diambil,” katanya dalam sidang akhbar selepas merasmikan Konvensyen DAP Johor di EkoFlora, di sini hari ini yang turut dihadiri Pengerusi DAP Johor, Liew Chin Tong dan Timbalannya, Teo Nie Ching.

Terdahulu Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) mengeluarkan 112,658 tag identifikasi frekuensi radio (RFID) VEP kepada kenderaan persendirian dan komersial bernombor pendaftaran Singapura setakat 30 September lalu.

Daripada jumlah itu, 75,412 tag RFID sudah diaktifkan sejak pelaksanaan VEP di laluan darat Malaysia-Singapura manakala 37,246 tag lagi masih belum diaktifkan.

Sebelum ini, Persatuan Hotel Bajet dan Bisnes Malaysia (MyBHA) Johor mendakwa  menerima laporan jumlah pengunjung ke hotel mereka berkurangan khususnya di sekitar Johor Bahru.

Siew Fook berkata, setakat ini pihak kementeriannya tidak menetapkan tempoh tertentu untuk melaksanakan penguatkuasaan penuh. 

Beliau turut menyeru pemilik kenderaan Singapura untuk segera mendaftar, memasang dan mengaktifkan tag RFID VEP bagi mengelakkan sebarang kesulitan semasa memasuki dan keluar dari negara ini.

“Kita menggesa vendor terlibat untuk memperbanyakkan lokasi pendaftaran bagi memudahkan lagi permohonanan dan mengelakkan kesesakan. Kita tak boleh sediakan lokasi pendaftaran di Singapura, ini kerana pendaftaran ini bidang kuasa kita, melainkan ada kerjasama dengan syarikat di sana, itu biar vendor yang fikirkan,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya