GOMBAK: Malaysia Rail Link Sdn Bhd (MRL) mensasarkan tahap kemajuan Projek ECRL mencecah 76 peratus pada Disember ini selain mengekalkan momentum tersebut pada 2025 menerusi kerjasama erat dan usahasama antara Kerajaan Persekutuan serta Kerajaan Negeri.
Pengerusi MRL, Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar berkata, ECRL adalah projek infrastruktur bernilai RM50.27 bilion oleh kerajaan yang diterima pakai sebagai sebahagian daripada Inisiatif Jalur dan Laluan (BRI) oleh Kerajaan China, unjuran dari hubungan diplomatik yang padu serta aktiviti ekonomi yang aktif antara Malaysia dan Republik Rakyat China.
Beliau berkata, pembinaan projek mega itu turut melibatkan 40 peratus penyertaan kontraktor tempatan dalam kerja-kerja sivil (tidak termasuk terowong) yang dianggarkan bernilai hingga RM10.8 bilion hasil Perjanjian Tambahan Projek ECRL antara MRL dan China Communications Construction Company Ltd (CCCC) pada April 2019.
“Pembinaan Projek ECRL menyaksikan penglibatan lebih 3,000 syarikat tempatan terdiri daripada kontraktor, perunding dan pembekal dari tahun 2017 hingga 30 September 2024. Nilai kontrak yang melibatkan syarikat tempatan dalam Projek ECRL mencecah sekitar RM17.07 bilion, sekaligus mengatasi sasaran RM10.8 bilion yang ditetapkan.
“Bagi penglibatan syarikat bumiputera pula, sejumlah RM3.16 bilion atau 90.28 peratus dari sasaran RM3.50 bilion kerja-kerja sivil ECRL diberikan kepada kontraktor, perunding dan pembekal bumiputera.
“MRL dan CCCC bakal menggembleng tenaga memastikan nilai kontrak serta penglibatan syarikat bumiputera akan terus meningkat sehingga tamat proses pembinaan ECRL,” katanya.
Beliau berkata demikian pada Majlis Penembusan Terowong ECRL Gombak, di sini, semalam.
Shamsul yang juga Ketua Setiausaha Negara berkata, antara inisiatif yang diambil adalah kerjasama dengan kerajaan negeri yang terlibat dan Persatuan Kontraktor Melayu Malaysia (PKMM).
“Kerjasama ini adalah bagi meneliti syarikat kontraktor bumiputera dari kategori G1 dan G2, seterusnya membuka peluang membangunkan Projek ECRL di dalam skop kerja yang bersesuaian.
“Justeru, tawaran sebut harga pakej kerja-kerja sivil Projek ECRL yang melibatkan kontraktor bumiputera dari kategori G1 dan G2 dijangka akan bermula pada awal tahun 2025,” katanya.