PUTRAJAYA: Buat pertama kali sejak permohonan semakan hukuman mati dan hukuman penjara didengar, keluarga mangsa; dalam kes ini keluarga mendiang Altantuya Shariibuu, menyokong permohonan bekas anggota Unit Tindakan Khas (UTK), Cif Inspektor Azilah Hadri untuk menyemak semula hukuman mati dikenakan terhadapnya selepas didapati bersalah membunuh wanita itu.
Sokongan itu dinyatakan oleh peguam, Sangeet Kaur mewakili bapa Altantuya, Dr. Shariibuu Setev.
Sekiranya permohonan semakan itu dibenarkan, hukuman mati yang dikenakan terhadap Azilah sebelum ini boleh ditukar kepada hukuman penjara di antara 30 hingga 40 tahun.
Azilah telah berada dalam reman sejak siasatan pembunuhan Altantuya bermula pada 2006 namun sempat mengecap kebebasan selama dua tahun selepas Mahkamah Rayuan membenarkan rayuannya dan seorang lagi anggota UTK, Koperal Sirul Azhar Umar pada 23 Ogos 2013.
Dia bagaimanapun kembali ditahan di penjara selepas Mahkamah Persekutuan mengetepikan keputusan Mahkamah Rayuan itu pada 2015.
Pada ketika ini, Panel tiga hakim diketuai oleh Ketua Hakim Negara, Tun Tengku Maimun Tuan Mat dan bersidang bersama-sama Presiden Mahkamah Rayuan, Tan Sri Abang Iskandar Abang Hashim dan Hakim Mahkamah Persekutuan, Datuk Nordin Hassan masih mendengar hujah masing-maisng.