Kelantan tambah 2,472 aset hadapi banjir tahun ini

Kelantan tambah 2,472 aset hadapi banjir tahun ini

KERAJAAN Kelantan menambah 2,472 aset sebagai persediaan menghadapi banjir susulan hujan lebat yang dijangka melanda negeri ini bermula bulan depan.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KOTA BHARU: Kerajaan Kelantan menambah 2,472 aset sebagai persediaan menghadapi banjir susulan hujan lebat yang dijangka melanda negeri ini bermula bulan depan.

Menteri Besar Datuk Mohd. Nassuruddin Daud berkata, ia melibatkan kenderaan, jentera, bot, khemah kubik, genset dan peralatan-peralatan lain bagi memastikan pengurusan bencana berjalan lancar.

“Sebelum ini kita hanya menggunakan 17,147 aset sahaja. Untuk banjir tahun ini tambah sebanyak 2,472 menjadi kepada 19,619 aset.

“Alhamdulillah, kesemua aset-aset ini berada dalam keadaan baik dan bersedia untuk digunakan sebaik sahaja berlaku bencana,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Mohd. Nassuruddin memberitahu, pada masa sama jumlah anggota dan petugas banjir yang terdiri daripada Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM), Bomba, Polis, Jabatan Sukarelawan Rakyat (Rela), Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dan 10 lagi agensi turut ditambah.

Katanya, selain itu kerajaan negeri sudah mengenal pasti 459 pusat pemindahan sementara (PPS) yang mampu menampung lebih daripada 186,440 mangsa banjir.

Ujarnya, tahun lalu hanya 214 PPS yang beroperasi bagi menempatkan mangsa-mangsa banjir.

“Bagi memastikan bekalan makanan dan keperluan asas mencukupi kerajaan negeri sudah menyediakan sebuah depot simpanan keperluanbencana, 17 stor bencana dan lebih 160 pengkalan hadapan di seluruh negeri yang diuruskan oleh Jabatan Kebajikan Masyarakat.

“Pada masa sama, Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) telah mempersiapkan sebanyak 108 buah stesen telemetri hujan dan aras air, 59 buah siren amaran banjir, 117 buah tolok arus, lima buah ‘webcam’, 137 pam bergerak, satu empangan pertanian dan empat kolam takungan pemantauan untuk menghadapi banjir,” katanya.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Meranti turut menggesa seluruh rakyat, terutamanya yang tinggal di kawasan berisiko banjir, agar sentiasa berwaspada dan mematuhi arahan pihak berkuasa. 

“Jika amaran banjir dikeluarkan, segera berpindah ke pps yang telah dikenalpasti atau ke tempat yang lebih selamat,” katanya.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya