Kelantan pertahan pilih syarikat bukan bumiputera siapkan KB Sentral

Kelantan pertahan pilih syarikat bukan bumiputera siapkan KB Sentral

LAKARAN pembinaan Projek Terminal Stesen Bas Bersepadu Kota Bharu (KB Sentral) di Mukim Pendek, Tunjong, Kelantan.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KOTA BHARU: Kerajaan Kelantan mempertahankan pemilihan syarikat bukan bumiputera sebagai kontraktor bagi menyiapkan pembinaan Projek Terminal Stesen Bas Bersepadu Kota Bharu (KB Sentral) di Mukim Pendek di sini.

Timbalan Menteri Besar Datuk Dr. Mohamed Fadzli Hassan berkata, isu tersebut tidak berbangkit kerana kerajaan negeri sebelum ini telah sedaya upaya memberikan keutamaan kepada syarikat milik Muslim atau Bumiputera untuk menyiapkan projek ini.

“Saya nak tegaskan bahawa syarikat milik bumiputera bukan tidak mampu melaksanakannya namun atas sebab yang tidak dapat dielakkan, dalam kes ini mereka terpaksa menarik diri.

“AlhamdulilLah, Perak Transit dan China Communications Construction Company Ltd (CCCC)-Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) sebagai kontraktor utamanya sanggup penuhi syarat dan berjanji menyiapkannya dalam tempoh yang ditetapkan,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Terdahulu tular surat rasmi Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Kali ke-19/2024 yang bersidang pada 2 Oktober lalu telah membuat keputusan bersetuju meluluskan Pembinaan KB Sentral kepada Syarikat Perak Transit.

Mengikut surat itu lagi, Syarikat Perak Transit hendaklah melantik syarikat China Communications Construction Company (CCCC) menjadi kontraktor utama projek berkenaan.

Mohamed Fadzli memberitahu, pada masa sama kontraktor bersetuju untuk menjadikan operasi KB Sentral sebagai stesyen pengangkutan bersepadu Gred A mengikut syarat dan garis panduan yang telah ditentukan oleh pihak Agensi Pengangkutan Awam Darat (APAD) dan Kementerian Pengangkutan Malaysia. 

Katanya, sebelum itu kedua-dua buah syarikat bumiputera telah menarik diri walaupun peringkat awalnya mereka sudah bersetuju untuk membina dan memenuhi syarat-syarat yang ditetapkan oleh Kerajaan Kelantan.

“Syarikat yang pertama menarik diri setelah empat bulan dilantik manakala syarikat yang kedua pula menarik diri setelah sekitar setahun setengah dilantik untuk melaksanakannya. Projek KB Sentral akhirnya tertangguh hampir dua tahun. 

“Kedua-dua syarikat tersebut sebenarnya pegangan sahamnya Muslim dan Bumiputera. Dalam hal ini kerajaan negeri sebenarnya telah sedaya upaya memberikan keutamaan kepada syarikat milik Muslim atau Bumiputera. 

“Di sini saya nak tegaskan bahawa syarikat milik bumiputera bukan tidak mampu melaksanakannya namun atas sebab yang tidak dapat dielakkan, dalam kes ini mereka terpaksa menarik diri,” ujarnya.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Temangan itu berkata, selain dari penswastaan, kerajaan negeri pernah memutuskan untuk membinanya sendiri.

Katanya, bagaimanapun kerajaan negeri tidak mempunyai kepakaran membina dan mengoperasikannya mengikut standard yang telah ditetapkan oleh pihak APAD dan Kementerian Pengangkutan Malaysia.

“Perak Transit juga ada pengalaman membina dan mengoperasikan sekurang-kurangnya 4 buah stesen pengangkutan bersepadu sebelum ini. CCCC-ECRL adalah syarikat yang sedang membina projek ECRL, rekodnya setakat ini amat baik. 

“Stesen utama ECRL yang sedang dalam pembinaan di Tunjung hanya bersebelahan dengan tapak KB Sentral. Kita bercadang untuk mengadakan laluan sambungan terus antara stesyen utama ECRL dan KB-Sentral,” katanya.

Utusan Malaysia 12 Mac tahun lalu, melaporkan Projek Terminal Stesen Bas Bersepadu Kota Bharu (KB Sentral) bernilai RM64 juta yang dibina di Mukim Pendek di sini dijangka siap pada hujung 2026.

Menteri Besar Kelantan, Datuk Ahmad Yakob berkata, projek di kawasan seluas 2.02 hektar yang dibangunkan sebagai Pembangunan Berorientasikan Transit (TOD) itu akan dimulakan dalam masa terdekat.

Menurutnya, Syarikat Widad melalui syarikat bertujuan khas (SPV) iaitu Innovative City Holdings Sdn. Bhd. akan melaksanakan pembangunan dan operasi KB Sentral.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya