Kekecohan WTKL: ATM ambil langkah sesuai, fahami tekanan dihadapi rakyat Palestin - Utusan Malaysia

Kekecohan WTKL: ATM ambil langkah sesuai, fahami tekanan dihadapi rakyat Palestin

MOHAMMAD Ab Rahman berucap pada Sambutan Hari Angkatan Tentera Malaysia Ke-91 Tahun 2024 di Kem Segenting, Port Dickson, hari ini.-UTUSAN/FARIZ RUSADIO.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PORT DICKSON: Angkatan Tentera Malaysia (ATM) tidak berkecil hati susulan isu kekecohan membabitkan rakyat Palestin yang ditempatkan di Wisma Transit, Kuala Lumpur (WTKL) seperti yang tular di media sosial.

Sebaliknya, Panglima Angkatan Tentera, Jeneral Tan Sri Mohammad Ab. Rahman berkata, pihaknya akan mengambil langkah bersesuaian sambil memaklumkan memahami keadaan rakyat Palestin tersebut yang daripada segi emosi berada dalam keadaan tertekan.

Kekecohan berkenaan juga disifatkan beliau sebagai isu terpencil dan keutamaan pihaknya adalah untuk memastikan kesemua 127 rakyat Palestin termasuk 41 orang yang cedera ketika dibawa ke negara ini menerima rawatan terbaik.

“Mereka yang terlibat masih menerima rawatan berterusan di Hospital Angkatan Tentera Tuanku Mizan di Kuala Lumpur, daripada jumlah 41 orang (cedera) tinggal empat orang sahaja yang masih menerima rawatan lanjut di hospital tersebut.

“Keutamaan kami adalah memastikan mereka mendapatkan rawatan terbaik sehingga pulih sepenuhnya, perancangan masa hadapan termasuklah penghantaran balik tertakluk kepada perbincangan lanjut dengan pihak terlibat,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar Sambutan Hari Angkatan Tentera Malaysia (ATM) Ke-91 Tahun 2024 di Kem Segenting, di sini, hari ini.

Dalam pada itu, ketika ditanya mengenai laporan dua wanita yang menimbulkan kekecohan tersebut akan dihantar pulang, beliau menyerahkan perkara tersebut kepada budi bicara pihak berkaitan.

Menurutnya, pihaknya juga masih melaksanakan siasatan penuh berhubung isu tular tersebut dan akan menangani dengan profesional serta penuh empati.

“Mereka menginap di hospital terlalu lama sehingga tidak mempunyai peluang untuk keluar dan disebabkan mereka datang dari Gaza yang dilanda peperangan ia menyumbang tekanan emosi mereka.

“Namun saya ingin maklumkan kita mengadakan program-program, aktiviti-aktiviti mereka ini untuk keluar tetapi dengan dikawal atas faktor keselamatan.

“Mereka datang ke negara ini untuk menerima rawatan dan tentunya kita tidak mahu perkara tidak diingini berlaku tanpa pengawasan,” katanya.

Selain itu, menurut beliau, pihaknya akan bersama dengan kementerian lain untuk melihat langkah seterusnya untuk dilaksanakan.

“Kami akan membuat koordinasi dengan beberapa kementerian dan juga pertubuhan bukan kerajaan (NGO) bagi melihat langkah seterusnya kemungkinan mereka (rakyat Palestin) akan diletakkan di Malaysia sehingga satu masa, dan juga kemungkinan mereka akan dihantar ke negara ketiga sekiranya negara ketiga dapat mengambil mereka dan yang ketiga untuk mereka balik ke negara asal mereka,” katanya.

Pada 16 Ogos lalu, Malaysia berjaya membawa 41 rakyat Palestin yang cedera untuk rawatan di Malaysia, bersama 86 saudara mereka dari Kaherah, Mesir.

Pesakit-pesakit berkenaan sedang menerima rawatan di Hospital Angkatan Tentera Tuanku Mizan di Kuala Lumpur manakala saudara mereka yang tidak cedera ditempatkan di lokasi transit yang disediakan oleh Kementerian Pertahanan.-UTUSAN.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya