Kekal keamanan Laut China Selatan selaras undang-undang antarabangsa - Utusan Malaysia

Kekal keamanan Laut China Selatan selaras undang-undang antarabangsa

ANWAR IBRAHIM
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: ASEAN menegaskan semula bahawa kepentingan mengekalkan keamanan dan kestabilan di Laut China Selatan selaras prinsip undang-undang antarabangsa termasuk Konvensyen Undang-Undang Laut Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNCLOS).

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang mewakili Malaysia sebagai penyelaras negara untuk hubungan dialog ASEAN-China berkata, ASEAN turut menggesa Kod Tatakelaku (COC) di Laut China Selatan dimuktamadkan secepat mungkin.

“Ini adalah selari dengan prinsip undang-undang antarabangsa yang diiktiraf secara universal, termasuk Konvensyen Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu mengenai Undang-Undang Laut (UNCLOS) 1982,” katanya ketika menyampaikan kenyataan bersama ASEAN pada Sidang Kemuncak ASEAN-China Ke-27 di Pusat Konvensyen Kebangsaan (NCC) di Vientiane, Laos hari ini.

Dalam pada itu, Anwar berkata, ASEAN mengalu-alukan sokongan China dalam usaha peralihan tenaga dan menggalakkan kerjasama dalam teknologi baharu seperti robotik dan kecerdasan buatan (AI).

“ASEAN mengalu-alukan Kenyataan Bersama Mengenai Memperkukuh Kerjasama dalam Pertukaran Antara Rakyat dan cadangan China untuk melanjutkan Tahun Pertukaran Antara Rakyat ASEAN-China hingga 2025,” katanya.

Katanya, ASEAN dan China menjadi rakan dagang terbesar antara satu sama lain sejak 2020, dengan jumlah dagangan mencecah AS$696.7 bilion (RM2.99 trilion) pada 2023.

Sidang Kemuncak ASEAN-China Ke-27 diadakan pada Sidang Kemuncak ASEAN ke-44 dan ke-45 serta Sidang Kemuncak Berkaitan di Laos.

Malaysia berperanan sebagai penyelaras negara bagi Sidang Kemuncak ASEAN-China, yang diadakan sebagai sebahagian daripada Sidang Kemuncak ASEAN ke-44 dan ke-45 serta Sidang-Sidang Berkaitan bermula 9-11 Oktober di ibu negara Laos itu.

Perdana Menteri kini mengetuai delegasi Malaysia ke Sidang Kemuncak ASEAN ke-44 dan ke-45 serta Sidang-sidang Kemuncak Berkaitan.

Selain Sidang Kemuncak ASEAN, Anwar juga menghadiri Sidang Kemuncak Campur Satu antara ASEAN dan tujuh Rakan Dialog iaitu Australia, China, Jepun, India, Korea Selatan, Amerika Syarikat dan Kanada, serta Sidang Kemuncak ASEAN Campur Tiga, Sidang Kemuncak Asia Timur dan Sidang Kemuncak ASEAN-Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu.

Beliau juga akan menyertai Mesyuarat Pemimpin Komuniti Pelepasan Sifar Asia, Sesi-sesi Suamuka antara Pemimpin-pemimpin dengan Wakil-wakil Perhimpunan Antara Parlimen ASEAN (AIPA), wakil-wakil Belia ASEAN dan Majlis Penasihat Perniagaan ASEAN (ASEAN Business Advisory Council – ABAC).

Semasa Majlis Penutupan Sidang Kemuncak ASEAN ke-44 dan ke-45 serta Sidang-sidang Kemuncak Berkaitan, Laos sebagai Pengerusi ASEAN 2024 akan menyerahkan jawatan Pengerusi kepada Malaysia sebagai Pengerusi ASEAN bagi 2025.

Malaysia secara rasmi akan memegang jawatan Pengerusi ASEAN pada 1 Januari 2025.

Pada majlis itu, Perdana Menteri dijadual menyampaikan ucapan ringkas yang menggariskan visi Malaysia sebagai Pengerusi ASEAN.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya