KANGAR: Dalam usaha bagi mencari pelapis atlet masa hadapan, Kesatuan Olahraga Malaysia (KOM) menganjurkan Kejohanan Olahraga Cahya Mata Sarawak Super Series-5/ Kids Athletics 2024 pada Sabtu dan Ahad ini.
Selain itu, kejohanan yang bakal julung kali berlangsung di negeri ini iaitu di Stadium Tuanku Syed Putra, di sini, bakal menjadi medan bagi mengasah bakat-bakat atlet muda di negara ini.
Presiden KOM, Datuk Seri Shahidan Kassim berkata, buat masa ini, seramai 1,221 atlet telah mengesahkan penyertaan dalam kejohanan itu.
“KOM telah menerima sebanyak 763 penyertaan bagi kategori terbuka dan 458 bagi Kategori Kids Atheletics,” katanya dalam sidang akhbar di Yayasan Pok Dan Kassim di Pengkalan Asam, di sini, hari ini.
Terdapat beberapa kategori yang dipertandingkan dalam kejohanan tersebut antaranya seperti Kategori Terbuka Lelaki dan Perempuan melibatkan 10 acara iaitu 100 meter, 200 meter, 400 meter, 800 meter, lari berpagar, lompat tinggi dan beberapa lagi.
Selain itu, terdapat juga Kategori Kids 11-12 tahun dipertandingkan melibatkan empat acara iaitu 100 meter, 200 meter, 4×100 meter dan lompat jauh.
Manakala Kategori Kids 9-10 tahun pula melibatkan tiga acara dipertandingkan iaitu 80 meter, 4×100 meter dan lompat jauh.
Mengulas lanjut, Shahidan berkata, hadiah menarik turut disediakan buat para pemenang bagi setiap kategori termasuk medal dan wang tunai tajaan Cahya Mata Sarawak.
“Selain mencari pelapis dan mengasah bakat, kejohanan ini juga diharap dapat menarik lebih ramai penyertaan dari pelbahai lapisan masyarakat termasuk pelajar, atlet profesional dan peminat sukan,” katanya.
Dalam pada itu, Shahidan berkata, kejohanan itu dijangka disertai beberapa atlet negara antaranya seperti jaguh lempar cakera negara, Muhammad Irfan Shamsuddin, jaguh lontar peluru negara, Jonah Chang Rigan dan pelari pecut negara, Muhammad Azeem Fahmi.
Tambahnya, selain atlet tempatan, kejohanan itu juga akan melibatkan penyertaan atlet luar antaranya dari Thailand, Singapura dan Indonesia.
“KOM berharap semua pihak akan dapat memberikan sokongan padu buat kejohanan ini dan bersama-sama memeriahkan penganjurannya,” katanya.-UTUSAN