KUALA LUMPUR: Kerajaan perlu mengambil tekad politik yang berani dengan melaksanakan rasionalisasi subsidi dan beberapa langkah lain walaupun berhadapan risiko tidak popular dalam kalangan rakyat.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, jika kerajaan memilih jalan selamat dengan menabur janji kosong sedangkan mengetahui keadaan ekonomi negara terus merosot, itu adalah satu pengabaian tanggungjawab moral terhadap tadbir urus yang baik.
Beliau berkata, pelaksanaan rasionalisasi subsidi itu membantu kerajaan menjimatkan berbilion ringgit, sekali gus membuktikan keazaman untuk memacu negara ke arah kestabilan.
Katanya, pendekatan tidak popular tersebut bukan bertujuan menyebabkan rakyat terseksa dan menderita tetapi untuk kerajaan berlaku lebih adil dalam mengagihkan kekayaan negara.
“Kerajaan mengambil tekad politik yang berani untuk melaksanakan (rasionalisasi subsidi) walaupun berhadapan risiko tidak popular (dalam kalangan rakyat).
“Jika kami tidak melakukan apa-apa sedangkan mengetahui keadaan (ekonomi) berterusan (merosot) hanya akan membawa negara ke arah bankrap, maka itu adalah pengabaian tanggungjawab untuk tadbir urus yang baik,” katanya ketika berucap pada Khazanah Megatrends Forum (KMF) 2024 di sini, semalam.
Pada Jun lalu, kerajaan mengumumkan pelaksanaan rasionalisasi subsidi diesel selepas terpaksa menanggung kos RM1 bilion sebulan, manakala kerugian akibat ketirisan berjumlah RM4.5 juta sehari.
Mengulas lanjut, Anwar berkata, berbilion ringgit yang dijimatkan menerusi rasionalisasi subsidi diesel dan penyelarasan tarif elektrik serta mengapungkan beberapa harga barangan itu, kini disalurkan semula kepada rakyat.
“Majoriti rakyat yang layak akan terus menikmati subsidi tetapi golongan kaya dan industri besar mesti membayar apa yang sepatutnya mereka bayar.
“Berbilion ringgit yang dijimatkan kini disalurkan kembali kepada rakyat dalam bentuk subsidi lain dan pemindahan tunai.
“Itulah yang telah kerajaan lakukan dan akan terus lakukan, seiring dengan usaha kami meneruskan pembaharuan struktur secara berani,” katanya.
Kata Perdana Menteri, kerajaan komited untuk melaksanakan tadbir urus, kebertanggungjawaban dan keadilan sosial iaitu dengan memastikan manfaat pertumbuhan ekonomi diagihkan secara adil serta saksama.
“Setiap rakyat Malaysia berpeluang untuk maju. Mereka yang ditugaskan melaksanakan dasar kerajaan mestilah mematuhi standard tertinggi dalam tanggungjawab, ketelusan dan akautabiliti.
“Kerajaan tidak akan berkompromi dengan tegas, jelas dan proaktif dalam kempen menentang rasuah dan penyalahgunaan kuasa.
“Pembaharuan struktur juga harus membawa erti keberanian dan komitmen teguh untuk mengambil tindakan terhadap penjenayah, pengaut keuntungan yang tidak beretika dan penyalahguna kuasa yang jahat, tanpa rasa takut atau pilih kasih,” katanya. – UTUSAN