Keahlian Kelab Bomba Cilik di Negeri Sembilan meningkat - Utusan Malaysia

Keahlian Kelab Bomba Cilik di Negeri Sembilan meningkat

ABDUL Khair Osman (tengah) bergambar bersama ahli Kelab Bomba Cilik dan pasukan pakaian seragam, Bomba Junior selepas melancarkan kedua-dua kelab itu pada Majlis Perhimpunan Bulanan JBPM Negeri Sembilan di Dewan Dato' Haji Hamzah, JBPM Negeri Sembilan di Seremban 2, Seremban hari ini-UTUSAN/MOHD. SHAHJEHAN MAAMIN.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEREMBAN: Permintaan untuk menubuhkan Kelab Bomba Cilik dalam kalangan institusi pendidikan awal kanak-kanak prasekolah termasuk taman didikan kanak-kanak (tadika) semakin meningkat selepas ia dijenamakan semula dari Kelab 3K iaitu Kelab Keselamatan Kebakaran Kanak-Kanak.

Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM) Negeri Sembilan, Penolong Pesuruhjaya Bomba, Abdul Khair Osman berkata, ketika ini terdapat 336 Kelab Bomba Cilik telah ditubuhkan di negeri ini dan jumlah tersebut dijangka akan terus bertambah.

“Ia sudah menjadi minat dalam kalangan tadika dan tabika, setiap hari saya sendiri menerima banyak permohonan untuk menubuhkan kelab ini. Dahulu ia dikenali sebagai Kelab 3K namun kurang mendapat sambutan namun selepas ia dijenamakan semula ia semakin diminati.

“Di Negeri Sembilan boleh dikatakan juga setiap hari balai-balai bomba menerima lawatan daripada kanak-kanak ini termasuk pada hari hujung minggu,” katanya kepada pemberita selepas beliau melancarkan pelancaran Kelab Bomba Cilik dan Kelab Bomba Junior di Dewan Dato’ Haji Hamzah, JBPM Negeri Sembilan di Seremban 2 di sini hari ini.

Sementara itu, menurut beliau, tujuan ditubuhkan kelab berkenaan adalah untuk memberikan pengetahuan asas berkaitan keselamatan kepada kanak-kanak berusia lima dan enam tahun.

“Di bawah jenama Kelab Bomba Cilik ini, modul pembelajaran anak-anak prasekolah ini ditambah baik dengan elemen kesedaran keselamatan di air berbanding modul terdahulu yang hanya memberi fokus kepada kesedaran keselamatan kebakaran,” katanya.

Sementara itu, Abdul Khair berkata, sebanyak empat buah sekolah di negeri ini juga telah menubuhkan pasukan pakaian seragam, Bomba Junior.

“Ia kini merupakan salah satu program kokurikulum bagi sekolah-sekolah rendah seluruh Malaysia. Fokusnya juga adalah supaya kanak-kanak ini menghayati dan mengamalkan ilmu kebombaan, memupuk budaya keselamatan, kesedaran bahaya kebakaran dan langkah-langkah pencegahan di peringkat awal.

“Ini juga merupakan kesinambungan ilmu kebombaan dari Kelab Bomba Cilik ke peringkat sekolah rendah, diikuti di peringkat sekolah menengah yang mempunyai Kadet Bomba dan di peringkat pengajian tinggi pelajar boleh mengikuti Briged Bomba dan Bomba Kor Siswa,” katanya lagi.-UTUSAN.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya