KUALA LUMPUR: Kementerian Dalam Negeri (KDN) dengan kerjasama Jabatan Imigresen telah menumpaskan 47 sindiket melibatkan 1,285 tangkapan ahli sindiket dan pendatang asing tanpa izin (PATI) setakat Oktober ini.
Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, pihaknya juga perketatkan pemeriksaan di kaunter-kaunter pintu masuk bagi memastikan mereka yang layak sahaja masuk ke dalam negara.
“Bagi yang tidak layak, kita tolak (permohonan). Kita memberikan mereka notis ‘Not To Let’ (NTL) atau nota penolakan masuk. Sehingga September tahun ini, kita kenakan NTL kepada warga asing seramai 25,214.
“Selain itu, kita juga meningkatkan pemantauan, kesediaan ke atas mereka. Kita pertingkatkan
rondaan, kita pantau melalui kamera litar tertutup (CCTV) di bilik kawalan. Penyelia pula akan membuat lawatan mengejut ke kaunter-kaunter ini dan pegawai yang bertugas di kaunter tidak
dibenarkan membawa alat telekomunikasi.
Sebelum dia bertugas dan selepas dia keluar, kita lakukan body search terhadap mereka,” katanya pada sesi Pertanyaan-Pertanyaan Bagi Jawab Lisan di Dewan Rakyat, hari ini.
Mengulas lanjut, Saifuddin berkata, pengembara bukan sahaja dikenalkan NTL di pintu masuk malah Imigresen juga mewujudkan pasukan khas yang membuat rondaan sebelum mereka pergi ke kaunter Imigresen
“Jika pasukan ini mengesan mereka ini berlegar (di sana) lima hingga lapan jam masih tidak pergi ke kaunter, ini bermaksud mereka sedang tunggu isyarat daripada sindiket untuk maklum mereka kaunter mana patut pergi.
“Hasil daripada pasukan rondaan ini, setakat September tahun ini, kita telah berjaya menyekat 6,694 orang pengembara daripada masuk kerana alamat tempat di Malaysia, kewangan yang tidak mencukupi dan faktor lain,” katanya.