KUALA LUMPUR: Kementerian Dalam Negeri menerima peruntukan RM19.5 bilion, menokok sebanyak RM500 juta.
Selain itu, Kementerian Pertahanan menerima peruntukan RM21.2 bilion, bertambah RM1.4 bilion.
Menteri Kewangan, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, lebih RM2.12 bilion peruntukan aset khusus untuk Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan agensi beruniform di bawah Kementerian Dalam Negeri bagi menjamin keselamatan dalam negeri melalui usaha bersepadu membendung peningkatan kes jenayah selain mengekang anasir permusuhan yang memecahbelahkan rakyat.
“Kerajaan akan terus memastikan kesiagaan penuh Angkatan Tentera Malaysia dengan RM5.8 bilion dikhususkan untuk kerja-kerja senggara dan pembaikan serta perolehan aset-aset ketenteraan baharu,” katanya.
Beliau yang juga Perdana Menteri berkata, bagi memanfaatkan kontrak senggara, program baharu PROTEGE iaitu veteran akan diperkenalkan khusus untuk mewajibkan kontraktor menyediakan peluang pekerjaan untuk veteran ATM, terutama yang punyai kelayakan TVET.
Selain itu katanya, tumpuan khusus diberikan untuk membangunkan industri ketenteraan tempatan melalui pemindahan teknologi daripada pembekal aset ketenteraan dan menggalakkan pemain industri tempatan menembusi pasaran eksport.
Sebagai contoh katanya, syarikat tempatan Aerodyne yang muncul sebagai penyedia perkhidmatan dron utama dunia wajar disokong untuk mengeksport aplikasi keselamatan kawalan sempadan.
Kerajaan itu bersetuju kadar Bantuan Sara Hidup (BSH) berdasarkan pendapatan garis kemiskinan (PGK) untuk veteran Angkatan Tentera Malaysia (ATM) tidak berpencen dinaikkan kepada RM500 sebulan ketimbang RM300 pada masa ini.
Anwar berkata, kerajaan turut bersetuju melanjutkan bayaran Penghargaan Khas Kepada Pesara dan penerima pencen terbitan mulai Januari hingga Disember 2025.
“Selaras dengan Sistem Saraan Perkhidmatan Awam (SSPA), pelarasan pencen juga akan dilaksanakan secara berfasa berdasarkan pelarasan peratusan ke atas gaji akhir pesara mengikut kumpulan perkhidmatan masing-masing termasuklah pesara Angkatan Tentera Malaysia (ATM),” katanya. – UTUSAN