Kawasan trek motosikal lasak di Negeri Sembilan dikenal pasti - Utusan Malaysia

Kawasan trek motosikal lasak di Negeri Sembilan dikenal pasti

PENGAMAL media mencuba menunggang ATV pada Program Media Teghojah Nismilan di Kampung JKIN Extreme Park di Jalan Bukit Putus Lama, Seremban-Kuala Pilah hari ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEREMBAN: Kerajaan Negeri Sembilan sedang mengenal pasti beberapa kawasan yang berpotensi dijadikan trek bagi aktiviti motosikal sukan lasak dalam hutan sebagai produk pelancongan sukan baharu ke arah persediaan Tahun Melawat Negeri Sembilan 2026.

Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Pelancongan, Kebudayaan dan Kesenian negeri, Nicole Tan Lee Koon berkata, terdapat beberapa lokasi lain yang dilihat sesuai seperti di daerah Jelebu dan Kuala Pilah. 

“Ini adalah sebagai usaha kerajaan Negeri dalam memperbanyakkan lagi lokasi-lokasi tarikan bagi konsep pelancongan seumpama tersebut. 

“Sukan permotoran ini antara sukan yang boleh menarik orang ramai, contohnya kita ada litar motocross, litar cub prix dan litar drag di Jempol.

“Antara lokasi menarik untuk pelancongan sukan di negeri ini pula adalah di Gua Batu Maloi di Johol dan Pedas Paragliding Park di Rembau,” katanya.

Teks ucapan beliau dibacakan oleh wakilnya yang juga pegawai penyelidik, Syafiq Mehaga pada Program Media Teghojah Nismilan anjuran Kelab Media Negeri Sembilan (Manis) di Kampung JKIN Extreme Park di Jalan Bukit Putus Lama, Seremban-Kuala Pilah di sini hari ini. 

Dalam pada itu, beliau meminta pemain industri pelancongan di negeri ini untuk turut sama memperkenalkan sembilan elemen atau identiti Negeri Sembilan antaranya Adat Perpatih, Rumah Tradisional Bumbung Panjang, Gulai Kuning, Bunga Lada, Gasing Negeri Sembilan dan Dam Harimau.

“Kerajaan Negeri akan terus untuk memberikan sokongan dan bantuan kepada pemain industri sekali gus merapatkan hubungan mereka dengan agensi kerajaan,” katanya. 

Sementara itu, pada program itu, pengamal media turut diberi peluang merasai pengalaman mencuba aktiviti sukan lasak seperti flying fox dan juga menunggang ATV.-UTUSAN.

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN