PETALING JAYA: Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) akan memanfaatkan sepenuhnya peruntukan RM60 juta yang disediakan kerajaan bagi memastikan setiap sumber digunakan secara optimum dan berkesan.
Ketua Pengarah Kastam, Datuk Anis Rizana Mohd Zainudin berkata, seluruh warga JKDM menyambut baik dan berterima kasih di atas pengumuman Perdana Menteri demi memperkukuh kawalan dan keselamatan pintu masuk negara.
Kata beliau, peruntukan ini sekali gus mempertingkatkan usaha-usaha membanteras aktiviti penyeludupan sekali gus membanteras ketirisan wang rakyat.
“Selain itu, peruntukan yang diberikan turut menyuntik semangat warga JKDM untuk terus menggandakan usaha secara berterusan dalam meningkatkan kutipan hasil serta menangani ketirisan,” katanya di sini semalam.
Terdahulu, Menteri Kewangan, Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika membentangkan Belanjawan 2025 di Dewan Rakyat mengumumkan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) dan Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) diperuntukan RM60 juta bagi mempertingkatkan usaha-usaha membanteras aktiviti penyeludupan.
Sejak 2022 hingga September tahun ini, KPDN dan JKDM berjaya menumpaskan sindiket penyeludupan dengan hasil rampasan mencecah RM2 bilion. – UTUSAN