Kapal perang berlabuh perkara biasa dalam hubungan diplomatik - Utusan Malaysia

Kapal perang berlabuh perkara biasa dalam hubungan diplomatik

MOHAMAD Hasan bersalaman dengan sebahagian penerima pada Majlis Sumbangan Kepada Warga Emas, Ibu Tunggal dan Rumah Ibadat Sempena Deepavali 2024 Peringkat Parlimen Rembau di Dewan Orang Ramai Rantau di Seremban hari ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEREMBAN: Bukan sesuatu perkara yang menghairankan dan luar biasa susulan kapal tentera laut China yang berlabuh di Pulau Pinang baru-baru ini.

Menteri Luar, Datuk Seri Mohamad Hasan malah berkata, tiada apa-apa masalah untuk kapal angkatan tentera negara asing berlabuh di negara ini lebih-lebih lagi jika Malaysia mempunyai hubungan diplomatik yang baik dengan sesebuah negara itu seperti China.

“Tiada apa-apa masalah, bukan sekali dua kapal angkatan tentera negara asing dating berlabuh di negara kita, bahkan pada suatu ketika, kapal pengangkut pesawat USS Nimitz dari Amerik Syarikat juga pernah berlabuh di sini.

“Jangan apabila sesuatu berlaku ini kita jadi gempar, ini merupakan perkara biasa dalam hubungan diplomatik dengan negara luar, berlabuh di pelabuhan kita adalah satu perkara biasa. Kapal dari Australia, dari United Kingdom, Perancis, Jepun sekarang pula dari China.

“Itu perkara biasa kerana kita ada hubungan dua hala dengan mereka, kita ada hubungan diplomatik dengan negara tersebut melainkan kita tiada hubungan diplomatik dan tiba-tiba kapal mereka berlabuh, itu tidak betul. Kita ada hubungan amat baik dengan negara China yang merupakan negara terbesar rakan dagang kita,” katanya.

Beliau yang merupakan Ahli Parlimen Rembau berkata demikian kepada pemberita selepas Majlis Sumbangan Kepada Warga Emas, Ibu Tunggal dan Rumah Ibadat Sempena Deepavali 2024 Peringkat Parlimen Rembau di Dewan Orang Ramai Rantau di sini hari ini.

Sebelum ini,Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan dan Ekonomi Kreatif Pulau Pinang, Wong Hon Wai menasihatkan orang ramai supaya tidak menimbulkan spekulasi berhubung kunjungan dua kapal latihan dari China bersama pelajar Naval University of China ke Pelabuhan Pulau Pinang.

Katanya, kunjungan silaturahim itu dibuat mengikut saluran rasmi yang turut dihadiri Pegawai Residen Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) di Pulau Pinang.

Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek kemudian berkata, lawatan itu melibatkan seramai 165 pelajar termasuk pensyarah itu adalah bersifatkan program diplomatik dan pertukaran kebudayaan melibatkan pelajar universiti dan sekolah persendirian Cina dalam usaha mengukuhkan hubungan persahabatan antara Malaysia dan China.

Sementara itu, Mohamad menambah, berkemungkinan perkara tersebut menimbulkan isu beberapa pihak susulan pertikaian di Laut China Selatan.

“Yang menjadi gempar kerana kita ada terima nota bantahan, itu biasa, itu bukan kali pertama kita terima nota bantahan, berpuluh-puluh kita menerima nota bantahan dari China malah kita juga ada hantar berpuluh-puluh nota bantahan kepada mereka, jadi tidak menghairankan. 

“Menghairankan sebenarnya bagaimana ia boleh bocor, nota bantahan antara negara itu biasa, berkenaan Laut China Selatan, China hantar nota bantahan kepada kita, kita hantar nota bantahan kepada mereka, Vietnam hantar kepada kita, kita hantar kepada Vietnam, dan Filipina, itu biasa.

“Dalam amalan diplomatik, bukan perkara menghairankan tetapi kita memandang berat nota-nota bantahan itu,” jelasnya.-UTUSAN.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya