PETALING JAYA: Polis menyelamatkan seorang kanak-kanak perempuan berusia lima tahun warga Filipina yang dieksploitasi sebagai peminta sedekah dalam serbuan di sebuah rumah di Jalan Goh Hock Huat, Klang dekat sini pada Isnin lalu.
Serbuan kira-kira 11 malam itu dijalankan sepasukan Bahagian D3 Antipemerdagangan Orang dan Penyeludupan Migran (Atipsom) Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman menerusi Op Pintas.
Ketua Penolong Pengarah D3 Bukit Aman, Senior Asisten Komisioner Soffian Santong berkata, pihaknya menahan seorang lelaki Indonesia berusia 67 tahun berstatus Pemastautin Tetap.
“Susulan itu, Bahagian D3 telah menyerbu sebuah lagi rumah di Sungai Kapar Indah, Klang pada pada 12.30 tengah malam (Selasa) dan menahan seorang wanita tempatan berusia 50 tahun disyaki terlibat dalam kes ini.
“Kedua-dua suspek disiasat di bawah Seksyen 14 Akta Atipsom 2007,” katanya ketika dihubungi hari ini.
Menurutnya, siasatan mendapati rumah kedai tiga tingkat di lokasi serbuan pertama disewa oleh lelaki Indonesia terbabit.
Jelas beliau, ketika serbuan, mangsa berada dalam sebuah bilik dipercayai dijaga oleh suspek untuk melakukan kerja sebagai peminta sedekah di sekitar Klang.
“Mangsa dipercayai dipaksa meminta sedekah sejak lebih sebulan lalu.
“Suspek wanita tempatan pula disyaki terlibat menguruskan mangsa untuk diserahkan kepada lelaki Indonesia berkenaan bagi tujuan eksploitasi,” ujarnya.- UTUSAN