KUBANG PASU: Meskipun sudah hampir sebulan selepas Sabari Baharom, 62, dipercayai dibuang ke dalam Sungai Padang Terap, di sini, ahli keluarganya tetap mengharapkan jasad mangsa ditemukan oleh pasukan penyelamat.
Menurut anak bongsu Sabari, Muhammad Amir Hakimi, 25, mereka sekeluarga terutama dia dan dua kakaknya akan terus melakukan solat hajat agar usaha pencarian itu dipermudahkan yang seterusnya menemukan mangsa.
“Saya dengan keluarga mengharapkan ayah ada kuburnya macam orang lain untuk nanti kami boleh ziarah, jadi walaupun cuma jasad saya harap sangat semua pihak yang terlibat mencari ayah untuk berhabis-habisan cuba sedaya upaya mereka.
“Saya tahu mereka yang terlibat mencari ayah memang pakar dalam bidang ini, sebab kalau saya sendiri yang nak cari memang tak mampu dan mustahil akan jumpa.
“Jadi saya minta tolong sangat-sangat sebab ini sahaja harapan kami sekeluarga yang ada untuk nak bagi ayah ada satu tempat yang elok untuk dia,” katanya ketika ditemui pemberita semasa hadir ke lokasi pencarian bapanya di Sungai Padang Terap di Kampung Empa, di sini.
Semalam, Ketua Polis Kedah, Datuk Fisol Salleh berkata, dua lelaki tempatan berusia 26 dan 38 tahun ditahan pada Jumaat lalu selepas mengaku mencampak Sabari ke sungai tersebut dalam keadaan tangan diikat dan mulutnya ditutup dengan pita pelekat.
Fisol berkata, kes yang disiasat sebagai orang hilang sebelum ini berjaya diselesaikan dan siasatan kini diteruskan di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.
Dalam pada itu, Muhammad Amir Hakimi turut memuji kecekapan polis dalam melakukan siasatan sebaik laporan kehilangan ayahnya itu pada 4 September lalu sehingga dapat memberkas pelaku kejadian terbabit.
“Saya kini menyerahkan semua urusan selanjutnya kepada polis, saya memang setuju apa yang polis buat kerana kalau tidak memang tak dapat dan tak tahu apa sebenarnya berlaku.
“Mungkin ada yang menganggap polis tak buat apa-apa itu cuma tanggapan kita sebab diam sahaja tetapi rupa-rupanya polis Malaysia memang hebat,” ujarnya.
Akhbar sebelum ini melaporkan Sabari hilang selepas keluar dari rumahnya di Kampung Mengkuang Tengah di Kuala Pegang, Baling dengan menaiki kereta jenis Proton Waja pada 4 September lalu.
Kehilangan warga emas itu disedari anaknya selepas telefon bimbit dimatikan selain terdapat transaksi pengeluaran wang dari akaun bank milik Sabari. Kereta Sabari kemudian ditemui hangus terbakar di Belantik, Sik. – UTUSAN