KUANTAN: Kerajaan khususnya Kementerian Pengangkutan diminta mengkaji semula syarat bebas tunggakan saman sebagai kelayakan bagi Program Khas Peralihan Lesen Memandu Malaysia (LMM) kelas B1 dan B2 kepada kelas B.
Penaung Kelab Motosikal Berkuasa Tinggi, Daz Bikers, Datuk Seri Zuhairi Ab. Kadir berkata, pihaknya melihat syarat itu juga tidak relevan dan menyebabkan ramai individu gagal memenuhi kelayakan untuk menyertai program berkenaan.
“Saman yang lalu itu biarlah ia sebagai kisah lalu. Sepatutnya ia tidak menjadi halangan untuk orang ramai mengambil peluang mendapatkan lesen B penuh.
“Kerajaan seharusnya memudahkan bukannya menyulitkan rakyat. Program khas peralihan lesen ini sudah baik dan ia lebih baik jika syarat-syarat dikenakan dilonggarkan,” katanya di sini hari ini.
Semalam, selepas menerima reaksi pelbagai daripada orang ramai, Kementerian Pengangkutan akhirnya akur dan melonggarkan salah satu syarat kelayakan bagi Program Khas Peralihan LMM kelas B1 dan B2 kepada kelas B penuh.
Menteri Pengangkutan, Anthony Loke dilaporkan berkata, pihaknya bersetuju supaya syarat memiliki LMM kelas B1 dan B2 hanya perlu aktif dan mencukupi tempoh 10 tahun ke atas sahaja.
Berbanding sebelum ini, individu dikenakan syarat memegang LMM kelas B1 atau B2 secara aktif selama sekurang-kurangnya 10 tahun berturut-turut.
Bagaimanapun, Loke dilaporkan berkata, syarat lain kekal dan tidak akan dikompromi termasuk pemohon perlu bebas senarai hitam dan tunggakan saman.
Mengulas lanjut, Zuhairi berkata, inisiatif pelaksanaan program khas peralihan lesen tersebut cukup baik terutama kepada golongan berpendapatan rendah bagi memiliki lesen kelas B penuh.
“Kita berterima kasih kepada kerajaan Pusat dan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) atas pelaksanaan program ini yang mengenakan kadar bayaran rendah.
“Ia sekali gus membolehkan golongan berpendapatan rendah yang layak mendaftar dalam program ini mendapatkan lesen kelas B penuh. Ia lebih baik jika syarat-syaratnya juga dipermudahkan,” katanya. – UTUSAN